KUANTAN, 20 JULAI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah atas usaha murni memperindah dan membersihkan kawasan Pulau Tioman melalui program gotong-royong melibatkan penduduk setempat dan agensi berkaitan.
Program Gotong Royong Tioman Bersih dan Indah serta Beach Clean Up yang berlangsung di sekitar Kampung Tekek, Pulau Tioman baru-baru ini telah disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Johari Hussain dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Tuan Haji Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman bersama penduduk kampung dan sukarelawan.
Paduka Baginda menyifatkan inisiatif ini sebagai contoh terbaik yang wajar dicontohi oleh semua ADUN di negeri Pahang dalam memainkan peranan memupuk kesedaran kebersihan dalam kalangan rakyat dan mencintai alam sekitar.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menitahkan supaya semua agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat agar dapat melaksanakan program seumpama ini secara berkala.
Titah Paduka Baginda lagi, usaha seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat melalui semangat gotong-royong dan kebersamaan demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri Pahang.-PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang