Tel: 09- 5681623 | Fax: 09- 5681626 | webtourism16@gmail.com                                                                                                                                                                                                                                                                     FAQ Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman
 

mengail

JERANTUT: Gelagat 30 wanita menggayakan pelbagai fesyen busana tradisional, berkain sarung dan bertudung batik ketika menyertai pertandingan memancing ikan menggunakan joran pelepah salak ketika musim tengkujuh bukan asing lagi bagi penduduk di pesisir Ulu Tembeling, Pahang, di sini. Keseronokan memancing ikan sudah menjadi tradisi pada musim tengkujuh apabila ikan liar mula menyambar mata kail dan dituruti sorakan penonton yang berada di tepi sungai.

Justeru, penyertaan seramai 30 wanita dari Kampung Kuala Sat, Jerantut dalam dalam pertandingan 'Mengail Joran Salak' mengisi acara Karnival Komuniti Kuala Sat, bersempena menutup tirai kalendar 2023, baru-baru ini dilihat begitu meriah. Peserta, Masadiah Abdul Hatim, 47, gembira bukan sahaja dapat bersama rakan menyertai pertandingan itu, malah dia juga diumumkan sebagai juara apabila berjaya mengail banyak ikan. 

"Saya dapat ikan baung, rong dan kerai. Ikan ini akan saya masak gulai masam tempoyak, iaitu masakan popular penduduk di sini. "Kali pertama joran saya mengena dan menyertainya sekadar suka-suka untuk merasai pengalaman memancing," katanya. Berpakaian ala zaman dahulu, Seorang lagi peserta, Asmatullaili Salleh, 36, bangga apabila semua semua wanita menyertai perlu memakai pakaian wanita kampung ala zaman dahulu dan mereka berusaha mencari pakaian untuk memeriahkan acara. "Ia sungguh melucukan mengail guna joran pelepah salak dan baju kurung potong Kedah serta kepala dibaluti kain batik, "katanya. Pengunjung dari Jerantut, Ramli Sulaiman, 65, berkata acara ini dianggap unik kerana ia tidak terdapat di tempat lain, tambah pula pesertanya hanya wanita. 

"Saya diberitahu acara ini biasa dilakukan penduduk di Kampung Sat. Saya lihat kemuafakatan penduduk apabila turut menganjurkan kenduri, sukaneka, pertandingan sepak takraw, sepakan penalti tutup mata (lelaki dan wanita)," katanya. Katanya, aktiviti sebegini wajar dihidupkan dan dipergiatkan sebagai acara tradisional bagi merapatkan hubungan kekeluargaan dan komuniti setempat, selain boleh menjadi produk pelancongan menarik serta unik di kawasan Ulu Tembeling. Selain itu, apa yang dilihat hujan lebat dan banjir bukan tidak diendahkan mereka, sebaliknya bagi kawasan tertentu di daerah itu, ada antaranya penduduk mengambil kesempatan itu untuk merasai pengalaman itu dengan melakukan aktiviti memancing. Sudah menjadi kelaziman ketika musim tengkujuh, penduduk di pesisir Ulu Tembeling terutama di Kampung Kuala Sat, dianggap waktu paling menarik untuk menangkap atau mengail ikan.

Ketika itu, banyak ikan 'bertandang' ke sungai terbabit dan lebih menarik penduduk kampung menggunakan joran pelepah salak atau disebut 'sebaur' untuk mengail sekali gus ia antara acara kegemaran setiap tahun. Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah, mengail menggunakan pelepah salak antara aktiviti paling menarik disertai rakan, malah ia turut menggamit sanak-saudara pulang bercuti ke kampung untuk merasai pengalaman memancing.

"Selain memancing, bagi mereka yang berani akan masuk ke dalam Sungai Tembeling sehingga ke pada paras pinggang untuk mencuba nasib menangkap ikan liar yang banyak ketika air sedang naik. "Mereka tidak menghiraukan hujan lebat yang turun, malahan orang ramai yang berdiri melihat di tepi sungai tidak kisah basah kuyup merasai keseronokan menyaksikan acara memancing yang jarang dilihat di tempat lain," katanya ditemui, baru-baru ini.

"Lihat saja, misalnya dapat disaksikan 30 wanita dari daerah ini menyertai pertandingan 'Mengail Joran Salak' sebagai penutup 2023. "Menariknya semua peserta turut menggayakan aneka pakaian tradisional termasuk berkain dan menyarung kepala dengan kain batik, membawa beg mengkuang dengan masing-masing teruja memancing ikan menggunakan kail pelepah salak sepanjang tujuh meter," katanya. Suasana meriah dan santai apabila mata kail disambar ikan. Ada yang bernasib baik mendapat ikan lampam, kerai, lawang akan tersangkut di mata kail, malahan pernah ada mendapat ikan kelah. "Dalam tempoh sejam masing-masing tersenyum lebar dapat membawa pulang ikan itu," katanya. - Berita Harian

Pautan Agensi

SUK PahangTourism PahangMAMPUMyGOVJPATourism Malaysia

Hubungi Kami

Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser
No 33 & 33A, ICT Hub Indian Town,
Jalan Putra Square 4,
25200 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.
 
Emel: webtourism16[at]gmail[dot]com

Jumlah Pelawat

Malaysia 74.3% Malaysia
South Korea 7.8% South Korea

Total:

36

Countries
008998
Today: 10
Yesterday: 19
This Week: 85
This Month: 275
Last Month: 622
Total: 8,998
FacebookInstagramTiktokTwitterYou Tube
Hakcipta Terpelihara 2024 © Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser @Tourism Pahang.
Tarikh Kemaskini: 14 November 2024 | Diselenggara oleh : Webmaster PKBF 
Paparan terbaik menggunakan internet versi Mozilla Firefox atau Chrome yang terkini
 
 
MyHRMIS Mobile