29 Nov, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

KUALA LUMPUR: Pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata perlanjutan itu bagi menggalakkan rakyat menikmati keindahan dan kepelbagaian destinasi pelancongan dalam negara.

"Banyak tempat menarik boleh dikunjungi seperti taman eko rimba di Taman Eko Rimba Bukit Ayer di Perlis; warisan bersejarah di Kota A Famosa Melaka; pantai Teluk Cempedak di Pahang, Kampung Budaya di Kota Kinabalu dan Gunung Santubong di Sarawak," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini. Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

"Peruntukan itu bagi menggiatkan lagi usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa dengan segera, selain diharap memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan," katanya. Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bercadang melanjutkan beberapa galakan cukai termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa sehingga tahun taksiran 2025. Selain itu, katanya, pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022. "Pihak negeri juga disarankan memberi pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor ini," katanya.

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr