29 Nov, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

TEMERLOH: Hanya pelancong yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan mengunjungi Pulau Tioman dengan membuat tempahan bilik penginapan terlebih dahulu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. Katanya, keputusan itu bagi memudahkan pemantauan sekiranya terdapat kes COVID-19 dikesan di pulau peranginan itu dan dibuat selepas menyaksikan kira-kira 2,500 tempahan diterima daripada pelancong yang ingin ke Tioman sejurus kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

"Pelancong yang hendak ke Tioman perlu buat tempahan terlebih dahulu yang memang perlu kerana di sana hanya ada sekitar 1,800 bilik penginapan. Tioman bukan seperti destinasi pelancongan lain seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands yang kita boleh datang secara 'walk in' dan kemudian cari bilik penginapan. "Setiap keluarga mungkin ada suami dan isteri, mungkin bersama anak mereka. Kalau tidak buat tempahan, mereka nak tidur di mana, takkanlah nak berkongsi bilik," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Mohd Sharkar turut memaklumkan semua pengusaha pusat pelancongan, terutama pemilik hotel digalak menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 untuk pelanggan sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengenai kemasukan pelancong ke Pahang antara Januari hingga Mac lalu, beliau berkata, seramai 430,000 pelancong direkodkan sudah mengunjungi negeri ini, jauh lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan kunjungan 2.3 juta pelancong. "Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pelancong ke Pahang merosot 79 peratus sejak negara dilanda COVID-19 dan ia memberi kesan sangat besar kepada semua penggiat industri pelancongan, bukan sahaja di negeri ini, tapi seluruh negara," katanya.

Mohd Sharkar berkata, hampir 99 peratus hotel di Pahang sudah ditempah sejak minggu lalu dan semua pengusaha hotel dan penginapan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka. "Kita tidak mampu untuk memeriksa dan melakukan pemantauan SOP di semua premis yang terbabit dengan industri pelancongan, jadi kita minta kerjasama mereka untuk bersama-sama menjaga SOP yang sudah ditetapkan. "Lagipun, mereka sudah lama tidak beroperasi, jadi kalau abaikan SOP, mereka kena tanggung sendiri akibatnya, terutama jika didapati melanggar SOP yang boleh menyebabkan premis diarahkan tutup sementara waktu," katanya.

 

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr