18 Sep, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

KUANTAN: Zoo Mini Taman Teruntum di sini bakal muncul zoo hibrid pertama di dunia selepas projek naik taraf siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan. Projek edu-tourism itu yang bermula bulan ini dibangunkan dengan konsep baharu menggabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik prasejarah seperti dinosaur yang mengadaptasi Revolusi Industri 4.0. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin, berkata projek dengan kerjasama syarikat swasta, Wegrow Global Sdn Bhd (Wegrow Global) dengan pelaburan mencecah RM12 juta itu dijangka siap dan dibuka kepada pengunjung menjelang Januari tahun depan.

Apabila zoo mini itu beroperasi nanti, katanya, pengunjung bukan hanya dapat melihat haiwan tempatan secara langsung, malah turut berpeluang menyaksikan haiwan animatronik prasejarah yang telah pupus dan pelbagai tarikan lain. "Apabila siap kelak, Zoo Mini Taman Teruntum bakal muncul sebagai tarikan pelancongan baharu di daerah ini dan Pahang khususnya," katanya pada majlis menandatangani perjanjian naik taraf Zoo Mini TamanTeruntum- Projek Kerjasama Edu-Tourism di antara MBK dan Wegrow Global di sini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda; Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah dan Pengarah Eksekutif Wegrow Global, Yong Lam Woei dan Teh Eu Jin.

Hamdan berkata, Zoo Mini Taman Teruntum seluas 4.4 hektar itu akan mengekalkan struktur sedia ada dan ditambah baik agar lebih menarik dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung. "Daripada keseluruhan kawasan, kira-kira 30 peratus akan dikekalkan untuk pameran haiwan hidup dan selebihnya bakal dibangunkan melalui projek edu-tourism yang turut menempatkan kafe bertema, makmal dinasor dan sebagainya," katanya.

Katanya, usaha itu bakal menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini menjelang pembukaan kembali industri pelancongan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). "Melalui usaha ini, Zoo Mini Taman Teruntum yang telah beberapa kali dinaiktaraf akan diberi nafas baharu sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi. "Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah lain juga mengambil inisiatif menarik lebih ramai pelancong ke tempat mereka dengan memperkenalkan konsep tarikan baharu yang sesuai dengan produk pelancongan sedia ada," katanya.

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr