18 Sep, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

TEMERLOH: Pahang bersedia membuka sektor pelancongan destinasi popular di negeri ini secara  berperingkat bulan depan setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebagai permulaan, aktiviti gelembung pelancongan akan dimulakan di Bukit Fraser, dekat Raub, sebelum disusuli Pulau Tioman di Rompin.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak kini di Bukit Fraser bagi memantau proses berkenaan dan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang boleh digunakan untuk membuka semula sektor pelancongan di sana. “Semua pemain industri dan penduduk kawasan berkenaan dijangka selesai menerima dos kedua vaksin Covid-19 masing-masing hari ini. “Tumpuan gelembung pelancongan turut membabitkan Pulau Tioman di mana dijadualkan menerima vaksin dos kedua bermula 27 Julai ini.

“Ini bermaknanya mereka juga boleh membuka sektor pelancongan selepas itu, dengan SOP yang akan dimuktamadkan kerajaan negeri dan MKN),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Bas Percuma Sempena Perasmian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lanchang di sini hari ini. Mohd. Sharkar berkata, semua SOP membabitkan pembukaan sektor pelancongan di Bukit Fraser dan Pulau Tioman akan digunakan sebagai rujukan bagi pembukaan sektor pelancongan di lokasi popular lain. Katanya, pembukaan semula sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan seperti disarankan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi memastikan semua pemain industri pelancongan dapat terus beroperasi.  Beliau berkata, proses pembukaan sektor pelancongan itu akan disusuli kawasan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri yang lain. 

Tegasnya, pembukaan semula sektor pelancongan perlu bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik Cobid-19 melanda negara. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang berkata, pelancong tradisi dari Singapura begitu berminat melancong ke destinasi pelancongan popular seperti Pulau Tioman. Dalam perkembangan lain, Mohd. Sharkar berkata, dua buah bas dan sebuah van disediakan sebagai pengangkutan percuma kepada penerima di PPV Lancang dan PPV Temerloh bermula hari ini sehingga tamat program vaksinasi negara. Beliau berkata, bas itu akan digunakan untuk menjejaki penerima vaksin disenaraikan yang terlantar dan di perkampungan Orang Asli yang sukar dihubungi.- UTUSAN ONLINE

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr