18 Sep, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

TEMERLOH: Kerajaan negeri berkemungkinan mensyaratkan pemain industri seperti hotel dan chalet supaya meletakkan pelekat khas di premis masing-masing bagi memaklumkan semua kakitangannya sudah divaksin dan bebas Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pada masa sama hanya individu sudah divaksin dibenarkan berurusan dan menginap di premis berkenaan.

Beliau berkata, sektor pelancongan di negeri ini berada pada tahap yang membimbangkan jika sektor itu tidak diaktifkan semula berikutan aktiviti pelancongan hampir statik sejak dua tahun lalu. “Menyedari perkara itu, kerajaan negeri bersedia memberi kebenaran berasaskan gelembung pelancongan bersasar bagi merancakkan semula sektor pelancongan di Pahang. “Inisiatif itu adalah antara usaha Kerajaan Pahang untuk memeriahkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk susulan penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang di sini hari ini.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang mengakui, terdapat dalam kalangan pemain industri termasuk pengusaha hotel lima bintang berisiko gulung tikar sekiranya sektor pelancongan tidak dibenarkan beroperasi.  Dalam pada itu beliau mencadangkan supaya pemain industri pelancongan sebagai barisan hadapan diberikan keutamaan untuk menerima vaksin kerana mereka adalah tunjang dalam sektor tersebut. “Semua staf hotel, chalet, pengusaha cenderamata dan semua rangkaian pelancongan wajib divaksin sekali gus bagi memberi keyakinan kepada pelancong.

“Cara ini dapat membantu dalam meningkatkan keyakinan pelancong lebih selamat dari tidak terdedah dengan wabak Covid-19,” katanya. Menurutnya, Pahang sudah bersedia menerima kehadiran pelancong termasuk dari luar negara seperti Singapura berdasarkan prosedur ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Negeri ini mempunyai pilihan lokasi pelancongan yang pelbagai antaranya alam semula jadi, pantai yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr