03 Aug, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengambil beberapa pendekatan untuk mengurangkan risiko berlaku kemalangan ketika beriadah di kawasan hutan. Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Jabatan Perhutanan Pahang Arihadi Johari Affandi berkata, antara pendekatan yang diambil adalah mengawal jumlah individu yang masuk ke dalam hutan mengikut kapasiti ditetapkan.

"Tindakan mengehadkan jumlah kapasiti ini adalah bagi melindungi sumber yang ada termasuk denai yang akan menjadi lebih lebar dengan penggunaan kerap. "Selain itu, kami mengambil inisiatif untuk menyelenggara setiap denai dua kali setahun. Jika ada laluan yang tidak jelas, kami akan merentangkan pita untuk menutup laluan berkenaan bagi mengelak ada individu yang sesat," katanya. Beliau berkata demikian selaku panel pada Webinar Perhutanan Cabaran SAR di Kawasan Hutan Simpan Kekal (HKS), malam tadi.

Selain Arihadi, terdapat dua lagi panel jemputan webinar berkenaan iaitu Timbalan Komander Pasukan Storm Pahang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhamad Haziq Hazmi dan wartawan Media Prima, Fazli Ahmad. Webinar berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop sebagai moderator. Arihadi berkata, pihaknya turut memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan selain pihak berkuasa seperti bomba, polis dan lain-lain.

"Jika berlaku bencana atau insiden sesat, kami akan melaporkan kepada pihak sebaik menerima laporan. Pada masa sama, kami juga akan membantu dari segi logistik serta kepakaran. "Kawasan hutan adalah dalam jagaan jabatan perhutanan dan pastinya kami mahu semua orang yang masuk dapat keluar dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Muhamad Haziq menasihatkan orang ramai yang mahu menjalankan aktiviti riadah di kawasan hutan perlu membuat persediaan secukupnya termasuk melakukan kajian terhadap kawasan hutan dilawati. "Mereka (orang ramai) perlu tahu kedudukan lokasi itu dan jaraknya dari balai polis atau bomba berhampiran. Adalah lebih baik jika mereka mempunyai nombor telefon balai berhampiran untuk mempercepatkan proses penyelamatan sekiranya berlaku perkara tidak diingini. "Sekiranya berlaku kemalangan atau sesat, saya menyarankan mangsa supaya tidak panik dan tidak bergerak ke kawasan lain bagi memudahkan pencarian dilakukan," katanya.

Sumber : Harian Metro

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr