03 Aug, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

Kuantan: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan. Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, saranan itu selepas baginda mengadakan lawatan mengejut di sekitar kawasan Tasik Chini, semalam. Katanya, baginda juga meneliti laporan dipersembahkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Roasdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan terbabit serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

"Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak 2019. "Baginda selanjutnya menitahkan kerajaan negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam bidang kuasa masing-masing dapat mengambil beberapa langkah. "Tasik Chini merupakan permata alam sekitar di bumi negeri Pahang Darul Makmur dan merupakan Tanah Rizab Bisfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini. "Justeru pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, baginda mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga. Katanya, baginda menyeru semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus takbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang. "Oleh itu, kawasan bekas lombong dipulihkan semua dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

"Selain itu meluaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitarnya. "Tasik Chini yang diberi status tapak rizab biosfera Unesco dapat diberi keutamaan dari sudut peruntukan kewangan dan pembangunan yang lestari oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Alam Sekitar dan Air," katanya.

Beliau berkata, baginda berharap aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan dipergiatkan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Katanya, aktiviti penguatkuasaan diperkasakan dan dilaksanakan secara bersepadu dan berkala membabitkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan. "Justeru, baginda bertitah adalah menjadi peranan semua pihak tanpa mengira latar belakang sama ada kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), termasuk penduduk setempat untuk sama-sama menjaga kawasan Tasik Chini agar keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat Orang Asli yang terdapat di kawasan tersebut akan terus terpelihara," katanya.

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr