- Butiran
-
Kategori: Berita Terkini
-
Terakhir dikemaskini: Rabu, 15 Februari 2023 09:40
-
Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2023 09:40
-
Jumlah paparan: 217

KUANTAN – Tourism Pahang meraikan ketibaan kapal persiaran Westerdam di Terminal Laut Dalam (NDWT), Pelabuhan Kuantan semalam yang membawa lebih 1,900 penumpang. Tourism Pahang berkata, pelancong berkenaan akan dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan di daerah Kuantan seperti Sungai Lembing, Pantai Teluk Cempedak, Masjid Sultan Ahmad Shah dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan yang lain.
“Perkembangan ini memperlihat pertambahan jumlah pelancong ke negeri Pahang yang semakin memberansangkan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Majlis tersebut dihadiri Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man; Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Razihan Adzharuddin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin. Menurut statistik Tourism Pahang, lebih 10 juta pelancong direkodkan mengunjungi 21 lokasi menarik di negeri ini pada tahun lalu berbanding kira-kira 2 juta dalam tempoh sama 2021.
Katanya, peningkatan ketibaan pelancong itu meningkatkan jumlah perbelanjaan pelancong sehingga 360% tahun lalu iaitu sebanyak RM9.147 bilion berbanding RM1.986 bilion pada 2021. Menurut kenyataan itu, daripada jumlah pelancong tersebut, seramai 73,520 pelancong adalah warga China, Singapura (12,908), Vietnam (6,134), India (5,714), Indonesia (4,896), Pakistan (3,742), Filipina (3,090), Korea Selatan (2,684), Thailand (2,372), Bangladesh (2,058) dan Hong Kong (2,016).
Tambahnya, bagi merancakkan lagi industri pelancong negeri dan menarik lebih ramai pelancong asing, Tourism Pahang telah merangka pelbagai program serta jalinan kerjasama dengan agensi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan. Katanya, ia selari dengan sasaran kerajaan negeri yang mengunjurkan sebanyak 13 juta pelancong dalam dan luar negara melawat Pahang pada tahun ini. – MalaysiaGazette
- Butiran
-
Kategori: Berita Terkini
-
Terakhir dikemaskini: Khamis, 19 Januari 2023 15:07
-
Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2023 15:07
-
Jumlah paparan: 201

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai destinasi kedua yang mempunyai carian tertinggi pelancong di Asia sempena sambutan Tahun Baharu Cina selepas Jepun berdasarkan data carian platform percutian digital global, Agoda. Menurut platform itu dalam kenyataan hari ini, Thailand berada di kedudukan ketiga diikuti Indonesia, Singapura, Vietnam, Korea Selatan dan Filipina di tangga kelapan. "Tahun ini, data Agoda juga menunjukkan bahawa ramai pelancong yang memilih percutian ke destinasi berhampiran di negara jiran untuk perayaan berkenaan.
"Namun begitu, trend ini tidak ketara dalam kalangan pelancong dari China dan Jepun yang lebih menggemari destinasi percutian beriklim panas. "Oleh itu, ia melonjakkan Thailand ke tempat pertama. Sebaliknya pula, pelancong Thailand ingin menuju ke Jepun yang beriklim lebih sejuk," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern, berkata adalah satu perkembangan yang sangat baik untuk dapat menyaksikan kembalinya keyakinan pelancong terhadap percutian antarabangsa terutamanya dalam pasaran Jepun, Korea dan Taiwan yang dibuka baru-baru ini. "Kami mempunyai jangkaan terhadap lonjakan dalam perjalanan dari negara China, apabila Thailand, Macau, Taiwan, Hong Kong dan Jepun kembali dalam senarai destinasi idaman bagi Tahun Ba]haru Cina tahun ini.
"Namun, ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan pemulihan yang sepenuhnya, memandangkan cabaran yang membabitkan kapasiti dan harga penerbangan," katanya. Data carian Agoda juga mendedahkan pilihan utama dalam tiga pasaran paling popular mengikut volum ialah Jepun, Malaysia dan Thailand. Bandar kosmopolitan adalah tarikan utama di Jepun, dengan Tokyo, Osaka dan Fukuoka yang adalah tiga destinasi yang mendapat carian tertinggi. Dengan tarikan warisan budaya dan suasana kotanya yang meriah, Kuala Lumpur muncul sebagai tempat paling popular di Malaysia, diikuti dengan Melaka dan Pulau Pinang, masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Di Thailand pula, Bangkok berjaya menduduki tempat pertama, diikuti oleh bandar pesta pantai Pattaya dan Chiang Mai yang kaya dengan budaya.
Sumber: Berita Harian