KUANTAN, 01 FEBRUARI 2025 : Majlis Yee Sang Tossing Kuantan anjuran Menara Kuantan 188 merupakan satu platform bagi memperkukuh hubungan antara komuniti yang menjadi tunjang perpaduan di negeri ini. Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, Ia juga menjadi medan meraikan keindahan warisan budaya yang pelbagai.
“Menara Kuantan 188 sekali lagi dapat melaksanakan satu lagi inisiatif baharu sempena perayaan Tahun Baharu Cina di mana ia dapat mengumpulkan masyarakat pelbagai kaum dan lapisan. “Kita dapat bersama-sama meraikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bersama pengisian-pengisiaan daripada program yang begitu menarik. “Di mana salah satu adalah pertunjukkan mercun sepanjang Menara Kuantan 188 dan saya difahamkan bahawa ketinggian adalah lebih 900 meter,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Yee Sang Tossing Kuantan di Jalan Taman berhadapan Laman Kuantan 188.
Beliau turut berharap majlis seperti ini dapat menjadi salah satu daya tarikan bagi kemasukan pelancong dalam sektor pelancongan di negeri ini. “Kita berharap bahawa ianya boleh menjadi satu daya tarikan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi sempena musim perayaan dan cuti ini, ia dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa. “Saya difahamkan pada hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina, kita juga dapat kunjungan pelancong dari luar negara dan luar kawasan Pahang ke khemah-khemah jualan ini,” katanya. Berkenan bercemar duli ke majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang turut diiringi, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Paduka Baginda, YAM Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang. - PAHANGMEDIA