KUANTAN,19 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang meneruskan inisiatif bantuan perlindungan insurans berkelompok bernilai RM300,000 melibatkan pemain industri pelancongan bagi tahun kedua. Menurut satu kenyataan media oleh Tourism Pahang, bantuan ini diberikan kepada pengusaha homestay Negeri Pahang, malim gunung Pahang, pemandu pelancong alam semulajadi Negeri Pahang, dan pemandu bot Cerating yang aktif di negeri ini.
“Tahun 2025 ini merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri Pahang menawarkan perlindungan insurans ini. Terdapat 370 orang yang layak menerima skim ini untuk perlindungan selama 5 tahun melibatkan caruman insurans individu setahun bernilai RM 122.26. “Antara kemudahan perlindungan insurans ini diberikan adalah kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan bernilai RM100,000. Jumlah perlindungan akan dibayar sekiranya berlaku apa jua kemalangan sama ada sedang bekerja dalam aktiviti pelancongan atau sebaliknya,” katanya.
Selain itu pencarum juga bakal menikmati kemudahan perlindungan insurans melibatkan pencarian dan pemindahan; perbelanjaan perubatan akibat kemalangan; pampasan kaunseling trauma; dan perbelanjaan penghantaran pulang. “Pembayaran balik pencarian dan pemindahan bernilai RM10,000. Perlindungan tambahan yang menyediakan pampasan kos pencarian dan pemindahan yang perlu dan munasabah kepada pencarum, jika cedera akibat kemalangan, atau sakit atau keadaan cuaca atau faktor keselamatan semasa aktiviti pelancongan. Perbelanjaan hanya perlu dibayar untuk bahagian operasi dan menyelamat. Kos hanya akan dilindungi sehingga setakat di mana dipulihkan dengan mencari dan menyelamat dan dibawa ke tempat yang selamat atau sehingga masa di mana pihak berkuasa mencari dan menyelamat menasihatkan bahawa meneruskan pencarian tidak boleh lagi dilakukan.
“Perbelanjaan perubatan akibat kemalangan bernilai RM2,500. Syarikat insurans akan membayar semua kos perubatan (mana² hospital kerajaan dan swasta) sekiranya berlaku kecederaan akibat kemalangan. Pendapatan hospital akibat kemalangan maksimum 30 hari bernilai RM50 sehari. Perlindunhan tambahan yang menyediakan elaun tunai harian sehingga RM50 semasa dimasukkan ke hospital (mana² hospital kerajaan dan swasta) akibat kemalangan sehingga maksimum 30 hari. “Pampasan kaunseling trauma maksimum 10 sesi bernilai RM100 setiap sesi. Perlindungan tambahan yang menyediakan pampasan kos kaunseling sehingga RM100 setiap sesi, untuk maksimum 10 sesi, jika anda adalah saksi atau mangsa peristiwa traumatik. Perbelanjaan penghantaran pulang bernilai RM5,000. Perlindungan tambahan yang menyediakan pampasan perbelanjaan penghantaran pulang jenazah dari tempat kematian ke negara asal anda akibat apa jua kemalangan,” menurut kenyataan berkenaan.
Majlis penyampaian dan penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man. -PAHANGMEDIA