KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2025 : Sekitar 20,000 pengunjung tempatan, domestik dan antarabangsa hadir memeriahkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan 2025 berlangsung sejak 11 September lalu di Pantai Sepat. Seramai 25 peserta antarabangsa dari 12 negara termasuk Brunei, Cambodia, China, Filipina, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Ukraine dan Vietnam serta 24 peserta kebangsaan telah menyertai festival yang dianjurkan buat kali ketiga ini.
Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli berkata, penganjuran kali ketiga festival itu menempatkan Pahang dan Kuantan dalam kalendar pelancongan negeri serta negara, malah menjadi acara yang dinantikan oleh peserta dan pengunjung antarabangsa. Katanya, penganjuran festival berkenaan memberi manfaat besar kepada sosioekonomi tempatan seperti hotel, pengusaha makanan dan peniaga. “Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik dan menyokong sepenuhnya penganjuran program, acara dan aktiviti pelancongan, kebudayaan, sukan dan rekreasi sama ada peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah,” katanya ketika membaca teks ucapan mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis penutup festival berkenaan hari ini.
Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Negeri Pahang selaku penganjur, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Pahang, Tourism Malaysia, agensi penerbangan, pemimpin tempatan dan semua pihak yang terlibat menjayakan festival bertaraf antarabangsa itu. “Saya juga melihat aktiviti sisipan yang diadakan sepanjang festival ini turut menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dan Negeri, menyemarakkan budaya, meraikan komuniti tempatan dan merapatkan jurang integrasi nasional,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan pada tahun lalu, Pahang menerima seramai 13.7 juta pelancong, meningkat hampir empat peratus berbanding 13.2 juta pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan pelancong dianggarkan sebanyak RM12.34 bilion. “Industri pelancongan yang berada di bawah sektor perkhidmatan turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang mencatatkan 5.7 peratus, lebih tinggi berbanding kadar nasional 5.1 peratus,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA