A- A A+
27 Feb, 2020

Facebook twitter You Tube Instagram

Tingkat perkhidmatan kaunter setaraf hotel lima bintang - 9 Disember 2019

KUANTAN - Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) di negeri ini akan memberikan tumpuan terhadap tahap perkhidmatan kaunter mereka setanding hotel bertaraf lima bintang. Presidennya, Pajan Singh berkata, usaha sesuai dengan hasrat kerajaan menyasarkan 15 juta pelancong tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020). Menurutnya, MyBHA berusaha memberi taklimat dan pengetahuan terhadap semua ahli supaya mempelajari perkara baharu mengenai industri itu. "Kita mahu pelanggan tetap memilih hotel bajet sebagai antara destinasi mereka jika melancong ke Pahang," katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan Pengusaha-pengusaha Industri Pelancongan Pahang sempena kempen promosi TMM 2020 anjuran MyBHA Pahang di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri, Datuk Edros Yahya dan Pengerusi MyBHA Malaysia, Emmy Suraya Hussein. Gimik pelancaran program perjumpaan Pengusaha-pengusaha Industri Pelancongan Pahang.
Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini berdasarkan rekod dan prestasi kemasukan iaitu seramai 14 juta setakat 30 November lalu. Menurutnya, sasaran 15 juta pelancong tahun depan mampu dicapai kerana Pahang terkenal dengan destinasi pelancongan popular terutama pantai, lokasi makanan tradisional, pulau dan tanah tinggi. "Pahang mempunyai 20 acara mega di peringkat nasional, dua acara akan diadakan di Pahang iaitu Pesta Air Chenor, Maran pada April 2020 dan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) (September 2020). "Di peringkat Tourism Pahang pula lebih 50 acara bahkan fasiliti dan tahap perkhidmatan hotel seluruh negeri termasuk hotel bajet turut dipertingkatkan menerusi pelbagai inisiatif pengusaha dengan kerjasama Tourism Pahang," katanya.

Ishak ketika berucap pada majlis perjumpaan Pengusaha-pengusaha Industri Pelancongan Pahang malam tadi. Tambah beliau, Tourism Pahang akan mempertingkatkan promosi di 11 daerah di negeri itu untuk menerima kedatangan pelancong. "Antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong ialah seperti Teluk Cempedak, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Bukit Fraser dan Taman Negara," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/61130/EDISI/Pahang/Tingkat-perkhidmatan-kaunter-setaraf-hotel-lima-bintang © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Rumah Klasik Kuantan imbau kenangan- 28 November 2019

KUANTAN - Seorang jurugambar tidak menyangka bidikan lensa kameranya dengan tema sekitar 1950-an menjadikan karya itu tular di media sosial. Mohd Faezrul yang memuat naik gambar berkenaan di Facebooknya mendapat perkongsian ramai di laman sosial terkenal.  Menurutnya, Rumah Klasik yang terletak di Galing menyimpan ribuan koleksi barangan antik bernilai tinggi. "Saya mahu membawakan konsep vintage. Saya dan model yang juga klien sepakat mengenakan pakaian yang bertepatan dengan tema Rumah Klasik.

"Saya tidak menyangka idea itu menjadi dan kini tular di media sosial. Rumah Klasik bukan sahaja menempatkan barangan vintage tetapi dekorasinya berjaya mewujudkan semula momen dahulu kala," katanya ketika dihubungi. "Bagi saya Rumah Klasik Kuantan satu destinasi unik dan patut dikunjungi jika ke Kuantan. Inilah lokasi yang boleh memberi kefahaman kepada generasi baharu mengenai kehidupan masyarakat zaman dahulu. "Rumah ini juga memang menyediakan peluang untuk orang ramai merakam fotografi atau kenangan indah perkahwinan," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/59442/EDISI/Pahang/Rumah-Klasik-Kuantan-imbau-kenangan © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

RM1.9 juta bangunkan lima pantai di Kuantan : 2 November 2019

KUANTAN - Sejumlah RM1.9 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan lima pantai di daerah ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin berkata, peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam termasuk tandas di pantai-pantai tersebut. Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Pantai Chendor, Cherating (RM500,000), Batu Hitam (RM200,000), Kempadang (RM200,000) dan Sepat (RM500,000).


"Semua projek-projek pembangunan itu akan dilaksanakan bermula tahun hadapan. Bagi tujuan menjaga kawasan tumpuan pelancongan ini, MPK melantik operator-operator yang akan memajukan kawasan tersebut. "Operator pula perlu memastikan apa yang telah kita belanjakan untuk membangunkan kawasan tersebut mendatangkan hasil dan berbaloi serta berjaya menarik kedatangan pengunjung," katanya pada sidang media Program Sayangi Pantai Kita di Pusat Rekreasi Balok di sini hari ini. Peserta bergambar di hadapan papan tanda Pantai Balok sebelum memulakan acara mengutip sampah sempena program Sayangi Pantai Kita di Pusat Rekreasi Balok di sini hari ini. Pada program tersebut, sebanyak 452 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua jam di sepanjang tiga kilometer Pantai Balok oleh 370 peserta. Peserta terdiri daripada orang awam termasuk kakitangan Bank Islam dan BHB, Kem Bina Negara Bukit Sagu, pelajar Giat Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK)

Dalam pada itu, Hamdan menegaskan, MPK tidak akan teragak agak untuk menamatkan perkhidmatan kepada mana-mana operator yang tidak menepati Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan. Hal ini katanya, termasuklah apabila gagal melaksanakan peranan untuk memajukan lokasi peranginan serta pusat kunjungan pelancong yang dipertanggungjawabkan. "PBT telah menyerahkan kawasan tersebut kepada operator dengan jumlah peruntukan yang besar tetapi jika pulangannya tidak memuaskan, kita akan berhentikan dan deposit mereka hangus. "Pihak berkuasa tidak akan bertoleransi dengan kegagalan operator," katanya. Sumber : Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/55240/EDISI/Pahang/RM19-juta-bangunkan-lima-pantai-di-Kuantan © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr