A- A A+
24 Sep, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

Jejak sejarah Sungai Lembing : 23 September 2018

KUANTAN - Seramai kira-kira 100 pelajar sekolah menengah dari dari seluruh negara menyertai program lawatan Jejak Warisan Merdeka di sini , semalam.

Program yang dilaksana­kan Kuantan anjuran Jabatan Warisan Negara (JWN) itu bertujuan mendidik generasi muda tentang kepentingan memelihara, menghargai dan mendekati pelbagai warisan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Saraya Arbi berkata Sungai Lembing, Kuantan dipilih sebagai lokasi program tersebut buat kali ke-12 kerana merupakan sebuah pekan lama yang unik serta kaya dengan nilai sejarahnya sendiri.

Menurutnya, pada lawatan itu, para pelajar dibawa melihat dan meng­alami sendiri ke beberapa lokasi yang mempunyai kaitan sejarah.

“Program kali ini berkonsepkan menjejaki terowong bijih timah, rumah Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), bengkel sampul surat dan muzium sungai lembing yang mem­beri mereka pengalaman berharga.

“Di samping itu, kita turut mewujudkan platform ber­bentuk akademik di mana bukan sahaja para pelajar sekolah, malah institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dapat berinteraksi secara dekat dengan tokoh sejarah di sini menerusi pengkisahan sejarah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr Zainah Ibrahim.

Dalam pada itu, Saraya turut berharap agar program dilaksanakan mampu menjadi pendorong untuk masyarakat terus mencintai warisan budaya di samping dapat memberi manfaat dan impak positif kepada komuniti Sungai Lembing.

“Pekan Sungai Lembing bukan sahaja bekas tinggalan tapak bersejarah semata-mata malah ia merupakan komponen warisan budaya yang disisipkan mengenai siapa diri kita, asal-usul kita dan corak kehidupan pada hari ini.

“Diharapkan aktiviti seumpama ini mampu memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman berharga mengenali, menghayati dan mencintai sejarah dan warisan negara,” katanya.

ATM anjur kejohanan payung terjun di Kuantan - 18 September 2018

KUANTAN - Buat julung kalinya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM selama 10 hari bermula 21 September ini, yang akan disertai oleh lebih 176 pasukan termasuk pasukan jemputan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, dan Perladangan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kejohanan yang akan mempertandingkan empat kategori terjunan itu, akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Kemunting di sini.

“Acara anjuran ATM ini juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan ekstrem seperti payung terjun kepada orang ramai selain mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan di sekitar Kuantan.

“Kalau boleh kita mahukan acara ini menjadi acara yang dikenali ramai dan sinonim dengan negeri ini khususnya Kuantan seperti International Bird Race di Bukit Fraser yang telah menjejaki 31 tahun penganjurannya,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media bagi Penganjuran Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM 2018, ‘Pahang Parachute Challenge 2018’, di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Menurutnya, Pahang juga dipilih sebagai lokasi penganjuran berikutan negeri ini mempunyai banyak kem tentera selain mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri.

Sukan lasak ini diadakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Tourism Pahang, Tourism Malaysia Wilayah Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Menurut Mohd Sharkar, antara empat kategori terjunan yang dipertandingkan ialah Accuracy Sport, Accuracy Military, Formation Skydiving, dan Canopy Formation Skydiving yang menawarkan hadiah bernilai RM1,500 sehingga RM3,000 bagi setiap kategori.

Pengunjung turut berpeluang untuk melihat pameran ketenteraan, kawad senyap, demonstrasi ketenteraan, dan meninjau peluang kerjaya di dalam ATM,” katanya. - Bernama.

Kenduri gajah jadi tumpuan : 03 September 2018

TEMERLOH - Lukimala dan Eli antara dua gajah yang menarik perhatian pengunjung sempena sambutan Hari Gajah Sedunia 2018 di Pusat Konservasi Gajah Kebang­saan Kuala Gandah, Lanchang semalam. Lukimala, gajah paling tua dari India berusia 81 tahun manakala Eli adalah anak gajah berusia dua tahun antara 21 gajah yang dijamu pada program Kenduri Gajah di pusat latihan haiwan itu. Lukimala adalah peng­huni pertama di pusat itu yang dibuka pada 1989 dan Eli baru sahaja ditempatkan di pusat tersebut pada Mac lalu selepas ditemui cedera di Jeli, Kelantan.

Akibatnya, anak gajah itu kudung kaki depan di bahagian kanan. Antara makanan yang dijamu ialah rumput, tem­bikai dan dua tan tebu sumbangan pihak swasta. Simbolik perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara  (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Kassim. Kira-kira 2,000 pengun­jung termasuk daripada luar negara membanjiri pusat berkenaan sempena sam­butan itu yang berlang­sung setiap tahun. 

Selain pameran, cera­mah, tayangan video, pertan­dingan mewarna, kuiz turut diadakan bagi memeriahkan lagi sambutannya. Sementara itu, pengunjung turut teruja beri­kutan berpeluang melihat haiwan tersebut. Bagi juruteknik, Norashikin Muhamad, 30, teruja kerana dapat melihat sendiri haiwan terbabit buat julung kalinya. Norashikin yang datang bersama beberapa ahli ke­luar­ganya mengetahui me­nge­nai sambutan itu mene­rusi aplikasi WhatsApp. "Tak sangka dapat tengok sendiri gajah sebanyak ini dan bukan senang nak lihat haiwan ini secara dekat," katanya.

Reaksi sama oleh Hairi Yusof, 45 yang datang dari Putrajaya bersama keluarganya kerana tidak mahu melepaskan peluang tersebut menyaksikan haiwan tersebut. Menurutnya rugi jika tidak datang ke program itu selain menimbulkan kese­daran terhadap dirinya berikutan ancaman yang dihadapi haiwan itu.

Royal Pahang Billfish International 2018 catat sejarah : 07 September 2018

KUANTAN - Penganjuran Royal Pahang Billfish International 2018 bakal mencatat sejarah apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mencemar duli menyertai kejohanan memancing di perairan Rompin mulai 14 hingga 16 September ini.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Salimah Mohd Ali berkata, ia adalah penyertaan kali kedua Tengku Abdullah dalam pertandingan itu iaitu sejak ia mula dianjurkan pada 2004.

“Kali pertama baginda menyertai kejohanan ini ialah pada 2009 dan sokongan berterusan yang ditunjukkan Tengku Abdullah menambahkan lagi prestij penganjuran sukan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 27 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk 10 pasukan dari Filiphina, Thailand, Jepun serta Singapura, dan jumlah peserta dijangka akan bertambah hingga hari pelepasan.

Katanya, untuk kejohanan yang berkonsepkan tangkap dan lepas itu, setiap pasukan akan diwakili tiga peserta dan pemenang akan diambil kira melalui bilangan ikan layaran yang berjaya dipancing.

Kejohanan kali ke-14 itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 serta trofi dan sijil.

Majlis pelepasan peserta akan disempurnakan Tengku Abdullah sendiri di Jeti Pantai Bernas, Rompin pada 15 September. - Bernama

Duta Khas China tidak ganggu tugas Duta Besar ke China : 1 September 2018

KUANTAN - Keputusan pelantikan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China tidak akan menganggu tugas Duta Besar China, Datuk Zainuddin Yahya.Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan itu melengkapkan tugas duta khususnya di kawasan tertentu kerana China sebuah negara besar.Menurutnya, walaupun pelantikan sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu namun belum dilakukan secara rasmi.

“Memang pada dasarnya kita tidak membuat lantikan politik sebagai duta namun Kok Wai melengkapkan tugas duta di kawasan yang lebih khusus.“Bagaimanapun, kita kena tunggu surat pelantikan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri yang akan dikeluarkan tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita pada Majlis Rundingan Parlimen Indera Mahkota (MPIM) di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini, hari iniTurut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Assisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali dan Adun Semambu, Lee Chean Chung.Pelantikan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China sebelum ini dikritik pembangkang.

Mengulas mengenai MPIM berkata, Saifuddin berkata ia satu kaedah yang dapat meningkatkan kerjasama antara pelbagai pemegang taruh yang terdiri daripada badan politik, agensi kerajaan, swasta dan masyarakat sivil serta tokoh tempatan.Menurutnya, majlis tersebut dilaksanakan bagi merancang kerjasama  dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan masyarakat Indera Mahkota. “Saya berpuas hati dengan mesyuarat ini dan kita bercadang akan adakan aktiviti yang melibatkan pelbagai kumpulan termasuk penjaja dan NGO.“Kita juga dapat mengenal pasti perkara utama permasalahan iaitu tentang soal pembangunan ekonomi, pertambahan pekerjaan dan bagaimana hendak bangunkan pelancongan, pendidikan, masalah remaja dan kesihatan awam,” katanya.Beliau berkata, MPIM kini mempunyai 50 ahli dan akan menerima wanita dan anak muda pada masa depan.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr