A- A A+
24 Sep, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

Pemasyhuran penuh istiadat diraja : 15 Januari 2019

PEKAN 15 Jan. - Sultan Abdullah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Keenam dalam era moden menggantikan ayah­anda baginda, Sultan Ahmad Shah dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Serentak dengan itu, baginda kini bergelar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Ia membawa maksud ‘Sultan Abdullah pembela agama yang terpilih oleh Allah’. Baginda yang diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah berangkat ke Balairung Seri itu pada pukul 11 pagi.

Istiadat pemasyhuran diraja bermula dengan Tengku Abdul Rahman diiringi Tengku Arif Temenggong Pahang dan Orang Kaya Indera Pahlawan, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan menyembah mengadap membacakan pengisytiharan pe­lantikan raja. Pengisytiharan itu di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang (Bahagian Pertama). Orang Kaya Indera Pahlawan kemudian mengadap Sultan Abdullah bagi menyembahkan Titah Ikrar sebagai Sultan Pahang Keenam sebelum baginda menyempurnakannya.

Istiadat diikuti laungan takbir “Allahuakbar” dan “Daulat Tuanku” masing-masing seba­nyak tiga kali diikuti hadirin yang hadir. Tengku Abdul Rahman kemudian menyembah mengadap untuk membacakan Perutusan Taat Setia mewakili kerabat-kerabat bergelar, ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, kerabat-kerabat dan Orang-orang Besar negeri. Selepas itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatan­kuasa Pelanco­ngan, A­lam Sekitar dan Perlada­ngan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyembah mengadap untuk membacakan Ucapan Ikrar Taat Setia mewakili ahli-ahli majlis me­syuarat kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun serta rakyat negeri ini.

Al-Sultan Abdullah kemudian menyempurnakan Titah Diraja. Istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam disempurnakan dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman. Pemasyhuran penuh bersejarah itu menyaksikan Al-Sultan Abdullah menaiki takhta selepas 44 tahun diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang. Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkan ba­ginda berada dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sumber : Utusan Malaysia

Tujuh projek pembangunan infra pelancongan di Pahang lewat: 3 Disember 2018

KUANTAN 3 Dis. - Sebanyak tujuh daripada 40 projek pembangunan penyediaan infra dan fasiliti pelancongan bernilai RM1.1 juta di negeri ini didapati lewat disiapkan dengan tempoh antara satu hingga dua bulan kelulusan Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa Kontrak (EOT).

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 menyebut alasan yang dikemukakan juga kurang wajar seperti masalah cuaca iaitu hujan di tapak binaan, bekalan bahan binaan yang dihadapi oleh kontraktor dan kedudukan tapak semasa pemilihan projek.

"Selain itu tujuh daripada 14 projek dilawati membabitkan nilaian kontrak sebanyak RM1.35 juta didapati kurang memuaskan walaupun baharu disiapkan dalam tempoh enam hingga 20 bulan.

"Antaranya projek naik taraf gelanggang BMX di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), projek membina baharu pondok rehat di Pantai Kampung Chendor, kerja-kerja membina dan menyiapkan sebuah tandas dan kerja berkaitan di Mossy Forest Cameron Hihglands, menaiktaraf tandas di Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, di sini dan tiga lagi projek lain," menurut laporan itu.

Laporan itu disediakan oleh Jabatan Audit Negara yang dipetik dari laman web www.audit.gov.myhasil audit yang dilakukan terhadap Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) sebagai agensi pelaksana.

Selain itu, laporan audit juga mendapati terdapat kelemahan dari aspek pengurusan produk pelancongan iaitu sebanyak 95 daripada 125 laporan acara tidak disediakan dan tiada analisis dilakukan bagi mengukur kepuasan pelanggan untuk tujuan penambahbaikan produk pelancongan pada masa hadapan.

"Berdasarkan 20 laporan acara yang disediakan, didapati laporan yang disediakan tidak mengandungi laporan perbelanjaan penganjuran acara secara terperinci dan maklum balas pengunjung menyebabkan pihak PKBF tidak dapat membuat analisis bagi mengukur keberkesanan acara pelancongan yang diadakan," kata laporan itu.

Laporan audit itu juga mendapati berlaku ketidakcekapan dalam pengurusan pentadbiran kontrak kerana bon pelaksanaan berjumlah RM70,013 tidak dikenakan terhadap enam daripada lapan perolehan kerja serta bekalan selain perkhidmatan serta polisi insurans tidak dikemukakan bagi tiga projek pembangunan penyediaan infra dan fasiliti pelancongan bernilai RM0.66 juta.

Selain itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan promosi iaitu 17 daripada 30 pembekal dan kontraktor terlibat tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan membabitkan nilai perolehan berjumlah RM0.71 juta, sementara sebanyak 14 perolehan dan bekalan berjumlah RM1.2 juta lewat dibekalkan.

Bagaimanapun secara keseluruhan, program pembangunan pelancongan yang dilaksanakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, telah dijalankan dengan berkesan dan merekodkan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 38.2 juta orang berbanding 44 juta juta orang yang ditetapkan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan sektor industri pelancongan di negeri ini.

Bagi memastikan kelemahan itu tidak berulang dan Kerajaan Negeri mendapat 'best value for money' atas perbelanjaan dilakukan, laporan itu mengesyorkan agar BPEN, PKBF dan agensi pelaksana lain disaran agar membuat perancangan dan kajian dengan teliti.

Ini bagi memastikan semua aktiviti promosi dan projek pembangunan, penyediaan infra dan fasiliti pelancongan yang dilaksanakan dapat dimanfaat sepenuhnya sekali gus memastikan tiada pembaziran.

Rancangan Strategik Pelancongan juga hendaklah disediakan dengan lebih komprehensif dan mengambil kira perkembangan industri pelancongan semasa serta mempertingkatkan kerjasama antara pemain industri.

"Agensi berkenaan juga perlu meningkatkan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan serta lebih terperinci di dalam pelaksanaan projek dan pengurusan kewangan selaras dengan peraturan yang ditetapkan agar kerja yang dilaksanakan berkualiti sekaligus kepentingan kerajaan terpelihara.

"Latihan yang berterusan dan bersesuaian kepada pegawai yang bertanggungjawab bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kemahiran kerja dalam pengurusan kewangan dan program," menurut laporan itu.- BERNAMA

Dua projek naik taraf elak sesak di Cameron Highlands : 23 November 2018

KUANTAN - Dua cadangan naik taraf laluan di Cameron Highland kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dikemukakan Kerajaan Pahang bagi menangani masalah  kesesakan lalu lintas di pusat pelancongan itu. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan projek pertama ialah kerja naik taraf jalan berkembar dua lorong kepada tiga lorong di laluan Persekutuan Tapah - Cameron Highlands.

“Kertas cadangan naik taraf itu dihantar kepada JKR pada Julai lalu dan kita harap diluluskan segera. Cadangan kedua pula ialah menaik taraf jalan di laluan Tapah - Cameron Highlands dengan simpang-simpang jalan Langgak Mercu, Jalan Tengkolok, Jalan Persiaran Dayang Endah dan Jalan Masjid di Tanah Rata.

“Bagi cadangan projek kedua pula dikemukakan kepada JKR Pusat, negeri dan daerah Cameron Highlands pada Oktober lalu bagi membolehkan ia dipertimbangkan ke peringkat Pengurusan Nilai serta diberikan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Cheong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) yang ingin mengetahui mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands setiap kali musim cuti umum dan cuti persekolahan.

Selain cadangan naik taraf laluan berkenaan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mendapat kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan kakitangan Majlis Daerah Cameron Highlands bagi memastikan kelancaran aliran trafik di pekan berkenaan.

“Agensi terlibat akan menggerakkan pegawai dan anggota dari semua cawangan IPD Cameron Highlands dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kesalahan menghalang lalu lintas,” katanya.

 
 

161, 610 anak penyu dilepaskan di perairan Cherating : 27 November 2018

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak (kiri) memasang penanda untuk mengesan seekor daripada penyu agar yang dilepaskan ke laut selepas merasmikan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Bersama Komuniti Cherating di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cheraring, petang tadi. Foto: Bernama

 

KUANTAN – Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Cherating, di sini, telah melepaskan sebanyak 161, 610 ekor anak penyu ke laut yang hasil telur penyu yang telah dieramkan di pusat itu sejak lapan tahun lalu sehingga kini bagi tujuan pemuliharaan hidupan akuatik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, jumlah tersebut dilihat satu kejayaan yang membanggakan jika dibandingkan dengan bilangan telur penyu yang berjaya dikutip dan dieramkan.

"Data pendaratan penyu yang direkodkan sejak tahun 2010 hingga tahun ini menunjukkan sebanyak 2,762 aktiviti pendaratan penyu berlaku di Pantai Cherating dan daripada jumlah itu, sebanyak 242,442 biji telur penyu berjaya dikutip dan dieramkan.

"Hasilnya sebanyak 161,610 ekor anak penyu telah dilepaskan semula ke laut bagi tujuan peningkatan populasi penyu pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Program Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Bersama Komuniti Cherating di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, di sini, semalam.

Turut hadir Adun Beserah, Andansura Rabu dan Pengarah Perikanan negeri Pahang Azahari Othman.

Mohd Soffi berkata, selain kejayaan itu, pusat berkenaan berjaya muncul sebagai lokasi pelancongan terkenal apabila seramai 607,129 orang pelancong dalam dan luar negara dicatat berkunjung ke situ sejak lapan tahun lalu.

"Seramai 511,721 orang merupakan pelancong tempatan manakala 95,048 orang lagi adalah pelancong luar negara.

"Ini mencapai objektif semasa Jabatan Perikanan mewujudkan pusat ini iaitu untuk meningkatkan publisiti dan penyelidikan berkaitan hidupan akuatik ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya keraan negeri bercadang untuk menambah rizab pantai bagi tujuan pendaratan penyu di Pantai Chendor sejauh tujuh kilometer selain kawasan Pantai Cherating yang sedia ada sepanjang 35 kilometer. - Bernama

 
 
 

Lapangan terbang Pulai Tioman: Tunggu kelulusan Pusat : 23 November 2018

KUANTAN - Kelulusan pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman tertakluk kepada kelulusan kerajaan pusat selain peruntukan mengikut Aktiviti 12(B) Jadual Kedua (Perintah Kualiti Alam Sekeliling dan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan untuk membina lapangan terbang juga perlu mengambil kira Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 2015.

“Ia kerana Pulau Tioman sudah digazetkan sebagai kawasan Taman Laut. Jadi dalam hal ini kerajaan negeri dan Pusat perlu memastikan pelaksanaan projek itu tidak menjejaskan alam sekitar, jika perancangan ini (pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman) dilaksanakan.

“Malah, pemaju juga perlu mematuhi setiap peraturan ditetapkan dan mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Pahang Ke14, di sini, hari ini.

Beliau menjawab kebimbangan disuarakan Young Sefura Othman (DAP-Ketari) sekiranya projek pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman dilaksanakan akan menjejaskan alam sekitar di kawasan tumpuan pelancong itu.

Menurutnya, pembinaan lapangan tersebut juga akan dipantau oleh sekurang-kurangnya tujuh jabatan antaranya JAS, Jabatan Laut melalui Akta Perikanan 1975, pihak berkuasa tempatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim),” katanya

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, taklimat mengenai isu tuntutan bertindih kawasan Simpanan Minyak Petroleum Lembah Bertam antara kerajaan Pahang dan Terengganu sudah dilakukan Petronas.

“Taklimat berhubung isu itu juga sudah dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Buat masa ini, penyelesaian isu tuntutan itu hanya boleh ditentukan selepas sempadan maritim antara negeri Pahang dan Terengganu dimuktamadkan,” katanya menjawab persoalan yang disuarakan Datuk Mustapha Long (BN-Padang Tengku).

Sementara itu, menurutnya, kerajaan negeri memandang serius dan memantau masalah penerokaan haram berlaku di negeri ini sejak pimpinan bekas menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob lagi.

“Kerajaan mengambil berat kebajikan rakyat, kerajaan negeri amat bertolak ansur terhadap pekebun kecil yang sekadar mencari nafkah untuk menanggung keluarga masing-masing,” katanya.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr