A- A A+
24 Sep, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

Meng Fun urus 15 inap desa - 1 Mac 2019

Tiada siapa dapat meramalkan apa yang akan berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang di luar dari zon selesanya. Begitu juga bagi bekas wartawan, Lee Meng Fun apabila memutuskan untuk berhenti kerja pada 2016 untuk mencuba sesuatu yang baharu. Pertaruhan 50-50 dengan memanfaatkan gelombang ekonomi perkongsian, Meng Fun, 37, tidak pernah membayangkan bahawa dia akhirnya akan berjaya dalam bidang yang diterokainya iaitu mengusahakan inap desa atau homestay.

Dalam tempoh lebih dua tahun, perniagaan yang diceburinya itu menampakkan peningkatan dan kini dia menguruskan 15 buah inap desa di Cameron Highlands, Pahang. “Hingga ke hari ini saya masih sukar mempercayai perniagaan ini boleh berjaya kerana saya tidak pernah tahu bahawa terdapat permintaan tinggi terhadap inap desa,” kata Meng Fun yang pernah berkhidmat di akhbar harian Cina tempatan selama lebih lima tahun sejak 2005. Mengimbas kembali usaha pertamanya dalam dunia perniagaan katanya, dia tidak mempunyai sebarang asas untuk menceburi bidang perniagaan. Pada mulanya dia hanya mahu menyewakan pangsapuri tiga bilik miliknya di Brinchang melalui Airbnb, perkhidmatan pasaran dalam talian dan perhotelan yang membolehkan pemilik menyewakan hartanah mereka.

Dia membelanjakan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 untuk membuat beberapa pengubahsuaian ringkas dengan tema anime Jepun yang mesra keluarga. Menamakannya Bricks Homestay, dia mendaftar hartanahnya dengan Sistem Cukai Pelancongan Malaysia iaitu sistem penyerahan dan pembayaran dalam talian untuk cukai pelancongan di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Jun 2016. Tidak lama kemudian, dia menyenaraikan Bricks Homestay dalam Airbnb dan Facebook tanpa menyedari bahawa dia sebenarnya sudah memulakan langkah untuk menjadi pengusaha.

PERMINTAAN TINGGI

Permintaan yang diterima sangat memberangsangkan setelah dia meletakkan pangsapuri pertama dalam kedua-dua platform berkenaan. Meng Fun banyak menerima pertanyaan ketika cuti akhir tahun 2016 sehinggakan terpaksa menolak beberapa permintaan kerana ruang pangsapurinya yang terhad. “Permintaan yang tidak putus-putus membuatkan saya berasa tidak selesa kerana tidak dapat memenuhi kesemuanya,” katanya. Situasi itu mendorongnya untuk memikirkan langkah seterusnya iaitu mengembangkan perniagaan tersebut.

“Saya mula bertanyakan jiran-jiran jika mereka mahu menyewakan unit mereka kepada saya,” katanya. Dari situ, perniagaannya berkembang. Dua tahun setengah kemudian, Meng Fun menguruskan 15 unit hartanah yang terdiri daripada tujuh pangsapuri, tujuh penthouse dan sebuah rumah berkembar. Kesemuanya terletak di Cameron Highlands. “Kecuali yang saya miliki, selebihnya semua unit adalah disewa,” katanya.

KERJASAMA STRATEGIK

Menurutnya, maklum balas terhadap inap desanya sangat menggalakkan dengan purata kadar penghunian untuk semua unit adalah 20 hari sebulan. “Percaya atau tidak, saya mula menerima tempahan untuk Tahun Baharu Cina 2019 pada Ogos tahun lalu dan menjelang akhir 2018, semua unit ditempah sepenuhnya sehingga hari keempat dan kelima bulan Lunar pada 8 dan 9 Februari 2019,” katanya. Prestasi yang memberangsangkan menyaksikan catatan jualan setahun penuh sebanyak RM480,000 pada 2018, peningkatan 60 peratus daripada RM300,000 pada 2017. “Ini lonjakan besar daripada RM25,000 yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama selepas memulakan perniagaan iaitu dari bulan Jun hingga Disember 2016,” katanya.

Untuk membantunya menampung pertanyaan yang tidak putus-putus dan menyelesaikan masalah remeh tetapi mendesak di unit inap desa, Meng Fun yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Malaya memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas rakan sekerja dari sebuah syarikat pengurusan acara, Chia Ching Hie pada April 2017. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan pemilik syarikat pembersihan, Kenny Hew untuk menguruskan perkhidmatan pembersihan di rumah inap desa terlibat. “Selain menguruskan pembersihan, Kenny juga melayan aduan tetamu seperti berkaitan peralatan elektrik yang rosak,” katanya. Ini membolehkan Meng Fun menumpukan perhatian kepada pengajiannya di Kuala Lumpur dan hanya perlu `naik’ ke Cameron Highlands dua atau tiga kali sebulan untuk melakukan ‘pemeriksaan’.

MEMPELBAGAIKAN PERNIAGAAN

Mengakui bahawa dia adalah antara kumpulan pertama ‘orang luar’ yang membantu perkhidmatan Airbnb di Cameron Highlands untuk berkembang, dia masih ingat ketika itu terdapat kurang daripada 50 inap desa di Cameron Highlands dan sebahagian besarnya tidak dilengkapi perabot. “Sekarang, anda boleh lihat terdapat lebih 400 buah inap desa yang disenaraikan di laman tempahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, industri inap desa yang berkembang pesat menimbulkan persaingan antara pemilik unit Airbnb, bahkan mencetuskan perang harga yang tidak sepatutnya berlaku. “Ada yang mengurangkan kadar (sewa),” katanya. Untuk menandingi pesaingnya, Meng Fun mempelbagaikan perniagaannya pada Jun 2018 melalui kerjasama dengan pemilik restoran untuk perkhidmatan penghantaran ‘hotpot’. “Sekali lagi, saya terkejut dengan sambutan yang mengagumkan. Sekarang saya bekerjasama dengan dua hingga tiga pemilik restoran, bukan sahaja menghantar hidangan stimbot tetapi juga sarapan menu tempatan seperti nasi lemak dan telur rebus sehingga ke pintu,” katanya.

RANCANGAN MASA DEPAN

Selain pemilik restoran tempatan, dia juga mencari peluang untuk bekerjasama dengan pemandu pelancong dan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) untuk menawarkan pakej penginapan dan pelancongan kepada tetamunya. Meng Fun mendedahkan bahawa pada tahun lalu terdapat beberapa pihak yang ‘merisik’ untuk menjalin perniagaan dengannya. Mereka akan membawa kumpulan pelancong dari China untuk tinggal di inap desanya sebagai sebahagian daripada program lawatan. “Perkongsian seperti ini akan menguntungkan perniagaan, tetapi tentu saja saya masih perlu mengkaji dengan teliti sebelum mempersetujui mana-mana perjanjian,” katanya dengan harapan kerjasama itu dapat ditandatangani pada tahun ini.

Meng Fun yang bercita-cita tinggi juga mendedahkan bahawa dia Ching Hie sedang mengusahakan satu projek lain iaitu mewujudkan tempat untuk majlis perkahwinan, ruang untuk pertemuan berkumpulan, malah kafe tanpa pekerja di tanah seluas 6,758 kaki persegi di Cameron Highlands. “Diharapkan kami dapat memulakan perniagaan ini pada September tahun ini juga,” katanya. – BERNAMA

Rumah kampung calet ‘mat saleh’ - 16 Februari 2019

Ditemani bunyi unggas dan cengkerik saling bersahutan serta panorama keindahan alam semula jadi terutama pada waktu malam menjadikan percutian di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang sesuatu yang sangat istimewa. Bukan itu sahaja, menikmati percutian penuh damai jauh dari kesibukan kota, asap dan debu kenderaan mahu pun kilang pastinya memberi ketenangan yang sukar ditukar ganti.

Memilih untuk menikmati kehijauan alam dengan melakukan pelbagai aktiviti di Taman Negara atau sekitarnya bersama rakan atau ahli keluarga, pastinya Calet Park Lodge memberi kelainan bagi mereka yang sukakan penginapan cara sederhana. Lain dari yang lain, Park Lodge menawarkan suasana privasi yang terletak berdekatan lokasi pelancongan Taman Negara menjadikan calet itu digemari pelancong asing kerana mereka ingin merasai sendiri pengalaman hidup dalam suasana kampung.

Menurut pemilik Park Lodge, Abdul Jabar Abdul Rahman, 66, calet tersebut dibina 15 tahun lalu oleh adiknya semasa masih bertugas sebagai renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebelum mengambil alih pengurusannya selepas bersara pada 2011. Abdul Jabar memberitahu, dia hanya menerima pelancong asing menginap di calet berkenaan kerana tertarik dengan cara mereka yang lebih santai dan menghormati budaya tempatan.

“Saya suka cara mat saleh yang lebih sinonim dengan gaya percutian sederhana dan tidak cerewet,’’ ujarnya yang mengusahakan calet berkenaan bersama isteri, Rohana Mohamed. Tidak seperti calet lain, Park Lodge menyediakan lapan bilik berkonsepkan rumah tradisional kampung iaitu sebuah rumah dua pintu yang dilengkapi kemudahan asas dan sesuai bagi pelancong bajet atau backpakers termasuk perkhidmatan kemudahan Wi-Fi secara percuma.

Menurutnya, Park Lodge menerima permintaan tempahan yang tinggi pada bulan Jun, Julai, Ogos dan September, malah terpaksa menolak beberapa tempahan akibat penuh pada masa tersebut. “Saya bukan memilih pelanggan tetapi disebabkan budaya orang luar yang sederhana dan tidak cerewet, lebih menghargai perkhidmatan yang ditawarkan di sini. Kami banyak menerima pelancong dari Jerman dan Sepanyol. “Di sini kami hanya menyediakan sarapan kerana pelancong akan keluar melakukan aktiviti mereka sepanjang hari dan pulang lewat petang atau malam untuk berehat. Lagipun di sini tidak susah mencari makanan,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan baru-baru ini.

Dengan rekaan rumah ala tradisional yang indah pastinya sesiapa sahaja yang menginap di sini berasa seronok dengan layanan mesra Mohammad Jabar dan isterinya. Kedudukan Park Lodge yang hanya 600 meter ke jeti Kuala Tahan untuk ke Taman Negara memudahkan pelancong untuk ke sana. “Dari jeti tersebut mereka hanya perlu membayar RM1 untuk menaiki bot ke Taman Negara.

“Bagi yang tiada kenderaan, kami turut menyediakan perkhidmatan ke jeti,” ujarnya. Pada harga RM70 untuk dua orang lengkap dengan sarapan pastinya menguntungkan pelancong yang ingin menikmati suasana alam semula jadi sambil berehat santai melupakan seketika masalah pejabat dan suasana sibuk di kota. Buat masa ini Park Lodge hanya menerima tempahan bilik daripada pelancong asing melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7731661 atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Singgah kenali etnik Bateq

Ketika kedatangan penulis, kanak-kanak yang sedang seronok bermain berlari menyorokkan diri. Walaupun cuba menyembunyikan diri, namun mereka yang mempunyai rambut kerinting masih menarik perhatian kami dengan bergelak ketawa dan bercakap sesama mereka. Bukannya sombong, tetapi fitrah asal kanak-kanak tersebut ialah pemalu, namun selepas dipanggil beberapa kali mereka mula mendekati tetamu sambil bertepuk tangan. Bagi yang tidak biasa mengunjungi perkampungan Orang Asli pasti teruja untuk mendekati budaya dan gaya hidup etnik Bateq di perkampungan Dedari di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan.

Orang Asli di kawasan tersebut masih menggunakan kaedah kuno seperti rotan dan kayu meranti yang digesel untuk menghasilkan api dalam masa kurang dari satu minit. Menurut seorang penduduk, Beceh a/l Sungkai, pada masa ini terdapat 40 orang penduduk yang terdiri daripada tujuh keluarga. “Pekerjaan utama kami adalah mencari kayu dan memburu menggunakan sumpit. “Racun diletakkan di peluru sumpit bagi tujuan membunuh haiwan untuk dijadikan makanan. Sumpit boleh ditembak sejauh kira-kira 45 meter,” katanya.

Untuk ke perkampungan tersebut, pelancong harus menaiki perahu jalur dari jeti Kuala Tahan kira-kira 20 minit sambil menempuh arus dan jeram.Tambah Beceh, penduduk kerap dikunjungi pelancong sama ada dari dalam dan luar negara. “Jika mereka ke mari, kami akan menunjukkan demonstrasi menghidupkan api dan bermain sumpit. Mereka juga diberi peluang mencuba cara menghidupkan api. “Kami hanya mengenakan bayaran RM5 untuk seorang,” jelasnya. Selepas melawat perkampungan itu, pelancong boleh menikmati pengalaman mandi sungai di kawasan berdekatan. “Anda hanya perlu pilih pakej yang bersesuaian dan minta kepada pemandu perahu untuk singgah mandi-manda. “Pemandu perahu akan menunggu sehingga anda habis beriadah bersama rakan atau ahli keluarga. Harga sewaan perahu bergantung kepada pakej dan jumlah penumpang,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Inap desa jana pendapatan RM30j - 29 Januari 2019

TEMERLOH 28 Jan. – Industri pelancongan inap desa mencatatkan pendapatan sebanyak RM30 juta daripada 208 kluster sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 orang pada tahun lepas.Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, industri berkenaan adalah satu bentuk penginapan alternatif yang ditawarkan kepada pelancong sebagai ikon pelancongan negara.

Pada masa ini, katanya, terdapat sebanyak 4,005 peng­usaha inap desa yang menawarkan 5,620 bilik di seluruh negara dengan menyediakan program pengalaman Homestay Malaysia kepada pelancong me­ngalami kehidupan serta budaya komuniti setempat.“Kewujudan inap desa di kampung dapat memberi pulangan pendapatan dan melahirkan lebih 10,000 pekerjaan tetap kepada penduduk di sektor pelancongan dengan mengeksploitasi keistimewaan alam semula jadi dan budaya bangsa.

“Selain melahirkan usahawan pelancongan dalam kala­ngan masyarakat desa, ia juga dapat mewujudkan produk pelancongan hospitaliti desa dengan harga kompetitif dan bertaraf antarabangsa,” kata­nya dalam Majlis Anugerah Homestay Cemerlang di Kampungstay Desa Murni di sini semalam.Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia ne­geri, Datuk Idros Yahya.Yang turut hadir, Pengerusi Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan serta wakil Community Homestay Global Network, Dr. Maty Dhang Tecson.

Menurutnya, industri inap desa di negara ini menjadi peneraju dalam bidang ASEAN Homestay Standard dan mendapat anugerah tertinggi daripada United Nation Tou­rism World Organization iaitu anugerah ULYSES dalam pelancongan luar bandar.

Sumber : Utusan Malaysia

60 belia Australia pelajari budaya Melayu - 11 Februari 2019

LIPIS 10 Feb. - Pengalaman memakai kain batik ketika makan malam bersama keluarga Melayu memberi keterujaan kepada 60 belia dari Australia ketika berkampung di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh dekat sini baru-baru ini. Kunjungan ke Taman Negara Sungai Relau dan Kampung Merapoh berkonsepkan konservasi alam sekitar bertujuan menjana pengetahuan dan pengalaman mereka berhubung hutan tropika serta budaya tempatan di negara ini. Berasaskan konsep itu, belia negara Kangaroo tersebut turut bersama penduduk di situ me­ngadakan gotong-royong mem­bersihkan dan menceriakan kawasan pintu masuk pusat pelancongan Taman Negara Sungai Relau. Program selama empat minggu itu merupakan anjuran Fuze Ecoteer, sebuah pertubuhan world challenge di Australia dengan kerjasama pengusaha pelancongan Kampung Merapoh, SGI Outdoor Travel.

Antara aktiviti lain ketika berkampung di situ iaitu perkhemahan, pengembaraan hutan, mengenali flora dan fauna di Taman Negara Sungai Relau dan menyantuni pelajar sekolah menengah serta murid sekolah kebangsaan di Merapoh menerusi program pendidikan. Belia Australia berkenaan juga meluangkan masa bersama penduduk Orang Asli etnik Bateq di Kampung Teluk Gunung dengan mengadakan aktiviti motivasi pendidikan, membaik pulih pusat pem­belajaran dan perlawanan persahabatan bola sepak.

Belia dari Sydney, Australia, Jessica De Neef, 24, berkata, pemilihan Taman Negara Sungai Relau dan Kampung Merapoh kerana lokasi itu mempunyai ele­men konservasi serta rekreasi di hutan tropika dan gua batu kapur serta legitimasi budaya penduduk tempatan. “Saya gembira dapat men­dekati penduduk termasuk pelajar dan meningkatkan ke­sedaran berhubung pendidikan global untuk mengubah pembangunan setempat tetapi mengekalkan warisan alam sekitar dan kehidupan. “Kami juga menggunakan ruang kunjungan di sini dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran di pintu masuk Taman Negara bagi menitip nilai kesedaran penjagaan alam sekitar di sesebuah pusat peranginan khususnya di negara yang maju,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam program gotong-royong di Sungai Relau, Merapoh baru-baru ini.

Rakannya, Taylah Ryan, 23, berkata, peristiwa yang tidak dapat dilupakan iaitu menerima undangan program Malay Dinner di rumah seorang penduduk Melayu apabila pertama kali menikmati juadah masak asam tempoyak ikan air tawar dan ulam-ulaman. “Saya teruja dan kekok apabila disuruh oleh tuan rumah memakai kain batik. Kami begitu seronok dengan pengalaman manis ini dan tidak akan lupa apabila pulang nanti,” katanya.

Ryan berkata, setelah mengalami sendiri layanan di situ, nyata memberi persepsi sebenar bahawa orang Melayu sememangnya ramah dan begitu menghormati tetamu. Sementara itu, Pengurus SGI Outdoor Travel, M. Syukri Jali berkata, kunjungan belia Australia itu mampu memberi impak kepada imej Taman Negara Sungai Relau dan Gua Batu Kapur Merapoh sebagai destinasi yang semakin dikenali di pe­ringkat antarabangsa. “Sebelum ini, pelancong dan peminat sukan ekstrem mendaki dan eksplorasi gua dari England, Amerika Syarikat, Taiwan, Belanda dan negara lain di Asia kerap berkunjung ke sini,” katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia

Malaysia sasar 18 peratus pertumbuhan pelancong dari India: 17 Januari 2019

Muhammad Bakhtiar Wan Chik. 

NEW DELHI 17 Jan. - Malaysia menyasarkan untuk menambah kira-kira 18 peratus jumlah ketibaan pelancong dari India tahun ini menerusi kemudahan visa yang ditambah baik selain pemasaran, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Malaysia mencatat peningkatan 7.5 peratus ketibaan pelancong dari India, selepas penurunan selama dua tahun sebelum itu. Sasaran tahun ini adalah untuk menarik 700,000 pelawat dari India berbanding hampir 595,000 pada 2018.

"Penyambungan udara yang lebih baik akan membantu. Kami juga mengkaji kaedah menambah baik kemudahan visa untuk pelawat dari India," kata Muhammad Bakhtiar kepada Bernama. Kini terdapat 211 penerangan mingguan antara India dan Malaysia yang menyediakan 35,000 tempat duduk. Pada Rabu, Muhammad Bakhtiar menemui eksekutif kanan penerbangan pada pameran perdagangan 'South Asia Travel and Tourism Exchange' (SATTE) di Noida, di pinggir Delhi, bagi meneroka promosi pelancongan dan lebih banyak hubungan udara. Ruang pameran Malaysia sempena pameran pelancongan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jan itu disertai lebih 30 pempamer, termasuk Genting Malaysia Bhd, Desaru Coast Malaysia, Sunway Hotel and Theme Park, Legoland Malaysia Resort, selain para pegawai ourism Malaysia dan lembaga pelancongan negeri.

Muhammad Bakhtiar berkata Malaysia berminat mempromosi pelbagai tarikan kepada pelawat India. "Genting dan Langkawi popular dalam kalangan pelancong India. Kami juga mempromosi Sabah, Sarawak, Pahang dan Pantai Timur bagi mereka yang sukakan alam semula jadi. "Ada ramai pelancong dari China yang datang hanya untuk menikmati udara bersih dan kecantikan alam semula jadi. Segmen ini juga boleh menarik rakyat India," katanya. India ialah sumber keenam terbesar Malaysia dari segi pelancong asing. - BERNAMA

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr