A- A A+
24 Sep, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

Kedamaian 100 tahun Little England - 8 Mei 2019

KETIKA bercerita tentang pengalaman membesar di Bukit Fraser, Pahang, wajahnya tidak lekang dengan senyuman dek banyaknya kenangan manis yang mula tergambar di benak fikiran. Masih segar dalam ingatannya ketika di zaman persekolahan, saat itu bukan sahaja tiada telefon pintar malah, televisyen juga jauh sekali menjadi salah satu kelengkapan rumah sekitar tahun 1960-an. Apa yang ada hanyalah jaringan komuniti yang sangat akrab antara masyarakat pelbagai kaum. Malah, Sanadurai Katarsingh, 67, yang ketika itu masih bersekolah tidak pernah bosan menetap di kawasan terpencil di atas puncak bukit setinggi 1,420 meter dari aras laut itu.

Sanadurai merupakan anak jati kelahiran Bukit Fraser. Menurutnya, sebagai seorang penduduk yang membesar di situ banyak perubahan yang telah berlaku sekali gus membuatkan dia merindui zaman kanak-kanaknya. “Nak diceritakan, Bukit Fraser ketika saya kecil, banyak kisah menarik namun yang paling diingati adalah kenangan bersama rakan-rakan dan penduduk di sini ketika itu. “Kami hidup umpama satu keluarga. Orang Melayu, Cina dan India semuanya sentiasa tolong menolong, malah mereka juga boleh bercakap dalam tiga bahasa yang menjadikan hubungan penduduk di sini sangat erat,” katanya ketika ditemui K2 di Bukit Fraser baru-baru ini.

Jalan kaki lapan jam

Tambahnya, meskipun berbeza agama, setiap kali keraian semua penduduk akan bergotong-royong bukan sahaja membantu persiapan di rumah tetapi juga di rumah ibadat. Ia adalah rutin dan tradisi penduduk yang hanya seramai kira-kira 800 orang ketika itu. Tidak terkecuali hubungannya bersama-rakan-rakan. Bukan sahaja bersukan, mereka juga bersama-sama keluar ke pekan Raub menaiki perkhidmatan bas yang hanya dijadualkan ke laluan Bukit Fraser sekali sehari untuk pergi dan balik semata-mata untuk menonton wayang. “Saya masih teringat ketika itu kami semua ketinggalan bas. Saya dan rakan-rakan memutuskan untuk berjalan kaki ke pekan Raub yang mengambil masa lebih lapan jam. Setibanya di sana kami menonton wayang dan tidur di panggung wayang sebelum pulang menaiki bas awal pagi keesokannya. “Suasana di Bukit Fraser tidak lagi seperti dahulu, namun sehingga kini sebahagian bangunan yang terbina sejak tahun 1919 juga masih utuh.

“Bagaimanapun suhu di sini tidak seperti dahulu. Dahulu, sebelum pukul 7 malam, semua perlu berada di rumah dek cuaca sejuk yang boleh mencecah sehingga 10 darjah Celsius,” ujarnya yang kini berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Bukit Fraser. Bukit Fraser telah dibuka sebagai sebuah kawasan perlombongan dalam kurun ke-19. Ia diberi nama berasaskan kisah kehilangan seorang pengembara Scotland, Louis James Fraser. Berkeluasan 6,930 hektar, sehingga kini hanya 30 peratus kawasan tersebut yang dibangunkan. Bukit Fraser yang terletak kira-kira 104 kilometer (km) dari Kuala Lumpur itu menawarkan pemandangan dan kehijauan semula jadi di samping kepelbagaian spesies burung, flora dan fauna.

Pelancaran

Memiliki khazanah hutan yang masih terpelihara daripada pembangunan melampau, ia menjadi tumpuan para pencinta alam. Suhu Bukit Fraser kini adalah sekitar 15 hingga 24 Celsius sepanjang tahun. Ia merupakan salah satu tempat peranginan tanah tinggi berseni bina Inggeris yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Pembangunannya sebagai kawasan rehat telah dimulakan setelah menerima cadangan Bishop Fergusion-Davie yang dipersetujui pada awal kurun ke-20 oleh pemerintah Inggeris. Bersempena 100 tahun pembukaan Bukit Fraser yang secara rasminya dibangunkan sebagai pusat peranginan selepas berakhirnya industri perlombongan pada tahun 1919, Tourism Pahang telah menganjurkan Majlis Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser (1919–2019) bertujuan mengimbau sejarah awal pembukaan Bukit Fraser. Majlis pelancaran sambutan itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, Bukit Fraser merupakan salah satu lokasi pelancongan dan ikon utama di negeri Pahang selain dikenali sebagai Little England.

Menurutnya, berbeza dengan tanah tinggi lain seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands, lokasi ini lebih memberikan pengalaman mendamaikan kerana ia masih mengekalkan identiti, selain menjadi pusat pelancongan berteraskan konsep alam sekitar. “Bukit Fraser mempunyai sejarah tersendiri selain keunikan seni bina yang merupakan inspirasi daripada kampung halaman Louis James. Konsep percutiannya juga berbeza kerana ia mengetengahkan keindahan flora fauna di kawasan tanah tinggi bercuaca sejuk yang masih terpelihara. “Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti lain seperti berkuda, lawatan ladang strawberi, meneroka biodiversiti alam melalui jalan denai dan riadah bermain golf di padang sembilan lubang yang dahulunya merupakan bekas lombong biji timah pada kurun ke-19,” jelasnya. Tambahnya, selama 100 tahun, Bukit Fraser masih menjadi lokasi pilihan pelancong yang mahu lari daripada kesibukan kota dan beralih kepada keindahan alam dengan cuaca yang nyaman. Jelas beliau, tahun lalu seramai 103,649 orang telah berkunjung ke Bukit Fraser yang rata-ratanya merupakan pencinta alam dari dalam dan luar negara.

Pelancong

Selain mengangkat bukit Fraser menerusi keunikan sedia ada, pihak Tourism Pahang turut menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjana tarikan pelancong. Antaranya adalah Pertandingan Mengejar Burung Antarabangsa Bird Race, Music of The Hill dan The Olders Golf Course Challanges yang diadakan antara April hingga Jun setiap tahun. “Pihak kami juga telah mengenal pasti lokasi tinggal seperti tanah lapang, rumah dan bangunan lama untuk diguna semula dengan membina tarikan baharu di Bukit Fraser. Bagaimanapun, proses itu tidak akan melibatkan penebangan pokok baharu, sebaliknya memanfaat lokasi sedia ada,” ujarnya. Sementara itu seorang pelancong tempatan, Ain Nadhirah Johari, 30, memberitahu, dia mula jatuh cinta dengan Bukit Fraser selepas pertama kali datang bersama keluarga ketika berumur 15 tahun. “Saya sering ke sini untuk bercuti dan bersantai. Kadangkala saya juga akan ke sini dengan rakan-rakan untuk melakukan aktiviti mendaki bukit melalui jalan denai. “Bukit Fraser ada tarikan tersendiri. Ia damai dan menyenangkan selain cuaca yang sejuk, saya suka dengan seni bina bangunan lama dikawasan ini yang mana ia seperti berada di luar negara,” ujarnya.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/kedamaian-100-tahun-little-england-1.896685#.XNq1BjDD3i8.whatsapp 

100 pendaki 100 tahun Bukit Fraser - 11 Mei 2019

AGAK berdebar juga hati apabila raptai melibatkan 114 pendaki hanya dapat diadakan dua kali dalam tempoh kurang 24 jam sebelum majlis sebenar bermula. Persediaan itu diadakan bagi upacara pelepasan peserta program mendaki Pine Tree yang bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Menara Jam Bukit Fraser, Pahang pada 28 April 2019. Seri Paduka berkenan menyempurnakan majlis pelepasan peserta yang menyertai program mendaki Pine Tree sempena meraikan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser pada tarikh tersebut.  Seawal pukul 7 pagi, kami sudah berdiri tegak di hadapan jam besar yang menjadi identiti Bukit Fraser yang dibuka pada 1919. Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekitar pukul 9.30 pagi disambut dengan penuh debaran. Bukan apa, bimbang jika ada peserta tersilap langkah sehingga mencacatkan atur cara program. Alhamdulillah, walaupun sekadar menjalani dua kali latihan, majlis tamat dengan sempurna dan meriah. Malah Seri Paduka sudi beramah mesra dan berswafoto bersama pendaki.

Ketua pendaki, Fazli Ahmad berkata, masa persiapan memang suntuk tetapi kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat baik sekali gus membolehkan program berjalan lancar. Katanya, acara itu nampak mudah tetapi apabila membabitkan Yang di-Pertuan Agong, persiapan rapi perlu dilakukan termasuk protokol. “Saya bersyukur dengan masa yang suntuk, majlis berjalan lancar,” katanya kepada S2. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Program anjuran Kelab Media Pahang itu diadakan dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia Wilayah Timur serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang. Inisiatif mengadakan program itu adalah sebagai pengisian untuk memeriahkan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser.

Pendaki pula terdiri daripada pengamal media, kakitangan JBPM Pahang, JBPM Putrajaya, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan. Mengulas lanjut Fazli berkata, apabila cadangan itu dihebahkan, pihaknya menerima sambutan yang amat mengejutkan. Katanya, penganjur menerima lebih 100 penyertaan dan untuk tidak menghampakan permintaan daripada pelbagai pihak, seramai 114 pendaki dipilih. Daripada jumlah itu, seramai 108 pendaki berjaya menjejakkan kaki ke puncak Pine Tree manakala tiga pendaki berpatah balik dengan diiringi tiga anggota bomba. Beliau yang kagum dan teruja atas sokongan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang sudi berangkat pada upacara flag off berkata, agak mengejutkan apabila Seri Paduka turut meluangkan masa beramah mesra dengan pendaki.

“Sejak Kelab Media Pahang menganjurkan program mendaki, Seeri Paduka dan Raja Permaisuri Agong sentiasa memberi sokongan. Tentunya acara di Bukit Fraser ini memberikan pengalaman dan kenangan kepada semua pendaki,” tambahnya. Menurutnya, acara itu cukup bermakna buat penggemar aktiviti mendaki kerana dianjurkan sempena 100 tahun Bukit Fraser yang merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di Malaysia. Lebih bermakna apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat menyempurnakan upacara flag off pendaki. Sementara itu Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, sambutan itu diadakan bagi meningkatkan promosi Bukit Fraser sebagai pusat pelancongan tanah tinggi menarik di Pahang selain Cameron Highlands dan Genting Highlands. “Terkenal dengan jolokan Little England, Bukit Fraser memiliki tarikan tersendiri terutama sebagai lokasi memerhati burung yang turut menarik kunjungan pelancong luar negara selain terkenal sebagai lokasi mendaki dan merentas hutan di laluan yang disediakan,” katanya.

Bukit Fraser mempunyai lapan trek yang menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki antaranya Pine Tree Trail sejauh 5.5 kilometer, Maxwell Trail (1.8km), Bishop Trail (1.5km), Rompin Trail (500 meter), Kindersley Trail (300 meter), Hemmant Trail (1km), Abu Suradi Trail (500 meter) dan Mager Trail (350 meter). Namun laluan paling mencabar tentulah Pine Tree, Twin Peak dan Gunung Semangkok yang menuntut ketahanan fizikal pendaki. Selain itu, kekuatan tangan juga diperlukan bagi melepasi cerun tegak menggunakan tali sebelum sampai ke puncak Pine Tree pada ketinggian 1,448 meter dari aras laut.

Bersantai di Vila Embun Janda Baik - 4 Mei 2019

Janda Baik di Bentong Pahang tetap menjadi destinasi pilihan ramai bagi percutian jangka pendek terutama pada hujung minggu. Tarikan alam semula jadi yang menampilkan suasana damai rimba, deruan aliran sungai, udara nyaman serta persekitaran kampung nan sentosa menjadikan ia pilihan bagi mereka yang mahu lari seketika daripada kesibukan kota. Janda Baik terletak kira-kira 45 minit pemanduan dari ibu negara menggunakan susur keluar Genting Sempah.

Terdapat banyak gerai menjual hasil kampung seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta madu lebah bagi membolehkan pengunjung membawa pulang sebagai buah tangan. Selain itu, kedai dan gerai makan yang diusahakan masyarakat tempatan menawarkan pelbagai hidangan dengan cita rasa ala kampung dikelilingi suasana nyaman dan kehijauan hutan yang masih terpelihara. Tidak hairanlah Janda Baik turut menjadi tumpuan pengusaha chalet, inap desa, kem motivasi dan sekolah tahfiz menjalankan operasi mereka.  Satu daripada rumah peranginan di sini adalah Embun Luxury Villas. Mula beroperasi pada 1 Oktober tahun lalu, ia menjanjikan pengalaman berbeza bagi pengunjung yang mencari kelainan di Janda Baik. Jika kebanyakan rumah peranginan menjadikan landskap sungai sebagai tarikan, Embun memilih untuk menonjolkan elemen tanah tinggi Janda Baik kepada pengunjungnya. Berikutan itu, semua vila di sini dibina di puncak bukit yang tingginya kira-kira 300 meter. Pemilik Embun, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, ia merupakan konsep baharu. Katanya, pengunjung boleh menikmati panorama 360 darjah dan sememangnya indah. “Semasa merancang pembinaan Embun, kami melakukan yang terbaik bagi memelihara elemen semulajadi di sini dengan memastikan konturnya tidak terjejas dan pokok-pokok kekal berada di tempatnya. “Kerana itu walaupun di peringkat awal kami merancang membina 12 unit vila tetapi akhirnya dikurangkan kepada lapan sahaja demi menjaga suasana asli kawasan ini,” kata beliau.

Vila-vila Embun menampilkan reka bentuk ala Bali. Elemen kayu, ruang dan privasi menjadi keutamaan dengan setiap vila mempunyai ruang legar luas, siling tinggi serta dipisahkan dengan tembok tinggi.

Pokok buah-buahan seperti durian dan pulasan juga dikekalkan di tempat asalnya demi menjaga kelestarian alam dan memberi suasana segar kepada pengunjung. Untuk ke vila, pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri hingga ke kawasan khas sebelum dibawa ke kawasan vila di puncak bukit menggunakan kenderaan buggy. Selain memudahkan pengunjung ke vila, cara itu adalah antara polisi Embun untuk mengelak gangguan bunyi, pencemaran asap, kesesakan trafik serta menjaga privasi pengunjung.  Antara kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah rumah kelab, ruang mesyuarat dan seminar, gimnasium, restoran, barbeku serta pakej-pakej istimewa seperti majlis perkahwinan, percutian berbulan madu dan percutian keluarga. Sejurus tiba di puncak, pengunjung pasti terpesona dengan panorama hijau bukit-bukau sejauh mata memandang. Dari situ juga kelihatan pusat peranginan lain seperti Genting Highlands dan Bukit Tinggi.

Berjalan di sekitar Embun, pengunjung pasti akan terpesona dengan susunan landskap yang mengenengahkan elemen tumbuhan herba. Bahkan vila di sini turut dinamakan dengan tumbuhan herba termasuk selasih, serai, ulam raja, kantan, salam dan pandan. Norraesah berkata, elemen air juga dijadikan satu daripada perkara penting di kawasan vila itu . Ini mendorong beliau memutuskan untuk menyediakan kolam renang peribadi dengan reka bentuk berbeza di setiap vila berkenaan. Selain itu, kolam ikan dan pancuran air juga sinonim dengan kawasan vila yang terdapat di ruangan umum seperti di rumah kelab mahu pun di setiap villa.

Norraesah menganggap bunyi air sebagai terapi yang dapat memberikan rasa damai dan tenang kepada jiwa. “Embun adalah tempat yang sesuai bagi sesiapa sahaja yang mahukan persekitaran tenang, damai dan segar tetapi tidak jauh dari ibu kota,” katanya. Bagi penulis, tarikan paling menarik adalah di Vila Selasih yang mempunyai kolam renang infiniti. Vila Selasih juga adalah antara vila dengan lokasi paling strategik untuk menikmati pemandangan matahari terbit. Selain itu, Vila Pandan turut menawarkan pengalaman istimewa dengan kolam renang yang terletak sama tinggi dengan pokok durian yang tumbuh liar di kawasan ini. 

Kasih ibu

DR. NORRAESAH MOHA MAD (depan, tiga dari kanan) bergambar bersama pekerja berlatarbelakangkan pemandangan gunung-ganang.

Norraesah menjelaskan, beliau menamakan pusat peranginan itu sebagai Embun atas beberapa sebab yang amat peribadi dan dekat di hatinya. “Embun adalah nama ibu saya. Beliau merupakan wanita cekal yang membesarkan anak-anaknya dengan pendidikan walaupun beliau sendiri tidak tahu membaca atau menulis. “Embun juga merujuk kepada titisan-titisan air yang muncul pada permukaan daun pada setiap pagi. Di kawasan hutan hujan seperti Janda Baik, embun yang muncul setiap pagi memberi suasana sejuk dan segar setiap hari dan saya amat sukakan suasana itu,” katanya. Atas rasa tanggungjawab membangunkan ekonomi masyarakat setempat, Norraesah memutuskan untuk mengambil pekerja-pekerja tempatan dari kampung sekitar Janda Baik sebagai pekerja di vila berkenaan. “Fokus kami adalah pada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Di Embun, semua pengunjung adalah tetamu kenamaan (VIP) dan mendapat layanan istimewa,” katanya. - BERNAMA

Hotel Senrose...bersih, selesa - 11 Mei 2019

JIKA anda ingin bermain golf di Kuantan sama ada di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), Kelab Golf Diraja Pahang atau Kelab Golf Diraja Pekan dan tidak tahu di mana hendak menginap, anda disaran memilih Hotel Senrose. Ia memudahkan urusan anda jika bermalam di hotel ini kerana jarak perjalanan ke kelab-kelab golf ada yang hanya mengambil masa 10 minit perjalanan. Terletak dalam jarak lima minit perjalanan ke pusat bandar Kuantan dan medan ikan bakar terkenal Tanjung Lumpur, Hotel Senrose menjanjikan kepuasan kepada anda dengan fasiliti, kebersihan dan keselesaan yang setaraf hotel-hotel empat bintang. Mempunyai 18 bilik - Family, Deluxe King, Superior Queen dan juga Twin Sharing, hotel ini menawarkan kadar harga yang murah bermula RM65 untuk seorang dengan ruang tamunya disediakan satu kafe ala ‘golfer terrace’ untuk `kaki-kaki golf’ bersantai.

Menurut Pengarah Hotel Senrose, Zulkarnaim Mubin, sejak hotel itu dibuka pada awal Januari 2017, ramai dalam kalangan pemain golf selain daripada pelancong tempatan menginap di hotel tersebut kerana kedudukannya yang strategik. Katanya, `kaki-kaki golf’ suka bermalam di Hotel Senrose kerana jarak perjalanan untuk ke kelab-kelab golf seperti MGCC hanya mengambil masa kira-kira 35 minit perjalanan, Kelab Golf Diraja Pahang (10 minit) dan Kelab Golf Diraja Pekan (sekitar 20 minit). Selain ke kelab-kelab golf, tambahnya, mereka yang menginap di hotel ini juga mudah dan cepat jika ingin ke pusat bandar Kuantan yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit perjalanan.

“Jika mereka ingin menikmati makan malam di medan ikan bakar Tanjung Lumpur, mereka hanya perlu menyeberangi jambatan. Juga tidak sampai lima minit. Pusat rawatan KPJ juga di hadapan hotel ini,” katanya ketika ditemui di hotel itu baru-baru ini. Menurut Zulkarnaim, Hotel Senrose juga turut dikunjungi pelancong asing seperti dari United Kingdom, Australia dan China. Katanya, rata-rata dalam kalangan mereka yang pernah menginap di hotel ini pasti akan bermalam lagi di sini jika berkunjung ke Kuantan kerana mereka berpuas hati. “Dalam usaha memikat hati pelanggan, saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Pertama saya akan pastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan menjadi keutamaan. “Saya tidak akan berkompromi dengan pekerja dalam hal ini. Ramai pelanggan suka menginap di hotel ini kerana keadaan bilik yang bersih, besar dan selesa selain kualiti tilam yang baik,” tegasnya. Bercerita mengenai Hotel Senrose, Zulkarnaim memberitahu, nama itu diperolehnya ketika dia berkunjung ke Australia untuk bermain golf di Perth. Katanya, ketika berada di sana, secara tidak sengaja dia ternampak pelakon terkenal, Nelydia Senrose sedang menjalani penggambaran dan pada waktu itu juga hotel miliknya yang sedang dalam pembinaan tidak lagi mempunyai nama. “Jadi terlintas di fikiran saya untuk meletakkan nama hotel ini dengan panggilan Senrose. Sebelum menamakan Senrose, saya juga membuat carian mengenai maksud Senrose. Maknanya ialah ‘sen’ itu memberi maksud ‘duit’, manakala ‘rose’ pula dari segi saintifiknya bermakna ‘kembang’.

“Dalam erti kata lain, ‘rose’ juga melambangkan perkembangan. Begitulah ceritanya. Lagi pun Senrose komersial namanya,” katanya sambil tersenyum. Jadi, kepada mereka yang ingin merasai kepuasan dan kemudahan perjalanan jika berkunjung ke Kuantan, jadikanlah Hotel Senrose pilihan anda. Untuk mendapatkan tawaran harga yang istimewa buat tempahan atas talian melalui booking.com, Traveloka atau agoda.com.

Agong rasmi sambutan 100 tahun Bukit Fraser - 27 April 2019

RAUB 27 April - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser di Bukit Fraser di sini malam ini. Baginda sebelum itu tiba di majlis berkenaan pada 8.50 malam dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. Majlis ulang tahun seumpama itu julung kali diadakan sejak pembukaan Bukit Fraser iaitu daripada sebuah kawasan perlombongan kepada sebuah pusat peranginan tanah tinggi oleh seorang pengembara yang juga ahli perniagaan Scotlands, Louis James Fraser pada 1919.

Sempena majlis perasmian itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Beg Paip St John’s Johannians Pipes and Drums serta pentomin yang menceritakan kembali tentang sejarah pembukaan Bukit Fraser 100 tahun lalu dengan turut menampilkan pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan. Sementara itu, Wan Rosdy berkata Bukit Fraser yang berkeluasan 6,930 hektar dengan puncak tertingginya 1,420 meter dari paras laut, hanya 30 peratus sahaja daripada kawasannya dibangunkan.Katanya ia kaya dengan pelbagai keindahan alam flora dan fauna dan lebih 260 spesies burung menyebabkan kawasan itu sering menjadi tumpuan pencinta alam dan lokasi mengejar burung. “Selain Bukit Fraser, Pahang mempunyai banyak kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands yang amat sensitif dengan alam sekelilingnya dan kerana itu, kawasan ini terus dijagai. “Oleh itu pentadbiran kerajaan negeri sentiasa menjaga agar alam sekitar terus terpelihara,” katanya. - BERNAMA

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr