LIPIS 19 Sept. – Majlis Daerah Lipis (MDL) mengambil pelbagai pendekatan bagi membantu kerajaan negeri merancakkan lagi sektor pelancongan di daerah ini termasuk menyelenggara projek pemuliharaan peninggalan kolonial British pada abad ke-19 iaitu bangunan bersejarah di bandar Kuala Lipis sebagai tarikan pelancong.
Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, antara artifak dan bangunan di bawah projek pemuliharaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah Rumah Rehat di Bukit Residen, Kelab Pahang, Kompleks Pejabat Kerajaan Lipis, Muzium Warisan Sejarah (MWS) di Bukit Bius dan kediaman Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya, peruntukan membaik pulih dan pemuliharaan bangunan bersejarah itu melibatkan antara RM15 juta dan RM20 juta yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Misalnya, projek MWS yang juga kediaman bekas Setiausaha Kerajaan Pahang, Tun Abdul Razak di Bukit Bius melibatkan kos sebanyak RM700,000 yang diselenggarakan MDL dan Jabatan Muzium Negara bermula 2012,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Pauzi, banyak bangunan dan monumen bersejarah peninggalan British terdapat di sekitar bandar Kuala Lipis yang mana MDL diamanahkan untuk melaksanakan projek pemuliharaan premis berkenaan berasaskan potensi dari segi sejarah dan tarikan pelancong.
Katanya, pelaksanaan projek pemuliharaan itu memenuhi transformasi pembangunan dalam bidang sosial dan ekonomi berasaskan sektor pelancongan yang turut memberi manfaat kepada penduduk di daerah ini untuk menghasilkan produk tempatan serta menyediakan inap desa.
“Hasrat kerajaan negeri, Tourism Pahang dan MDL sendiri untuk menjadikan bandar Kuala Lipis sebagai Bandar Warisan Sejarah British dengan mendidik pelawat menghayati sejarah era berkenaan selain bagi tujuan berekreasi,” ujarnya.
Tambahnya, daerah ini merupakan satu-satunya destinasi pelancongan di negeri ini yang masih banyak menyimpan artifak zaman British pada abad ke-19 yang boleh dijadikan sebagai kajian sejarah dan didokumentasikan bagi tujuan pendidikan.
Sehubungan itu, katanya, MDL mewujudkan MWS untuk menempatkan koleksi pakaian tradisional Melayu Pahang, busana perkahwinan, peralatan dapur, senjata lama dan gambar-gambar tokoh politik serta artifak sejarah Kuala Lipis.
“MWS dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari menjadi antara destinasi menarik untuk dikunjungi terutama dalam kalangan yang mencintai sejarah negara,” katanya.