LIPIS 14 Sept. - Program Merapoh Forest Run 2016 (MFR2016) anjuran Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh dekat sini baru-baru ini bukan sahaja dapat mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga menyemarakkan industri pelancongan di negara ini.
Presiden WSFFM, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, program riadah itu diibaratkan serampang dua mata untuk mendidik masyarakat dan pengunjung di situ mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kegiatan sukan.
Beliau berkata, penganjurannya juga bertujuan mempromosi serta mempopularkan Taman Negara Sungai Relau sebagai destinasi pelancongan dan pintu masuk kedua ke Taman Negara Pahang.
“MFR2016 mencapai matlamatnya apabila seramai 700 orang menyertai acara larian bagi kategori 12 hingga 25 kilometer yang secara langsung dapat menguji ketahanan mental dan fizikal menerusi trek berbukit-bukau.
“Peserta juga dapat menikmati keindahan Taman Negara Sungai Relau yang mempunyai lebih 500 gua batu kapur berusia lebih 250 juta tahun yang belum diterokai,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta MFR2016 baru-baru ini.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim.
Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, pihaknya berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh semua peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat usia yang ke Taman Negara Relau bagi menyertai acara larian berkenaan.
Katanya, penganjuran MFR2016 mendapat sokongan daripada Tourism Pahang sebagai rakan usaha sama dan kegiatan itu akan disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Pahang 2017.
“Acara larian ini dapat menggalakkan pelawat domestik dan pelancong asing berkunjung ke Sungai Relau yang juga menjadi pintu masuk bagi memulakan pendakian ke Gunung Tahan dan melawat santuari ikan kelah di Sungai Juram,” katanya.