KUANTAN - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, menerima kehadiran 607,800 pengunjung sejak 2006 membabitkan pelancong tempatan dan asing yang datang melawat serta mengikuti aktiviti melepaskan anak penyu.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah kehadiran paling ramai ialah 501,418 pelancong tempatan diikuti pelancong asing 106,382 orang.
Menurutnya, tahun lalu mencatat jumlah paling ramai pengunjung iaitu lebih 74,000 orang diikuti 66,994 (2014) dan 60,912 (2010).
“Hujung minggu dan cuti sekolah mencatat pertambahan kehadiran ramai pelancong dua hingga tiga kali ganda,” katanya.
Beliau berkata, untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke PKPP Cherating, pelbagai aktiviti diadakan seperti melepaskan anak penyu ke laut, melihat penyu bertelur dan perkhemahan.
“Kami turut berusaha menambah jumlah pemandu pelancong yang bertanggungjawab membawa pelancong menyertai aktiviti diadakan.
“Kebanyakan pemandu pelancong terbabit dengan program melepaskan anak penyu dan melihat penyu bertelur pada sebelah malam di sepanjang pesisiran pantai Cherating,” katanya kepada Sinar Harian.