A- A A+
24 Aug, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

HUTAN Lipur Gunung Senyum yang terletak berdekatan Felda Jengka 25 antara tarikan ekopelancongan popular di negara ini menawarkan aktiviti meneroka gua batu kapur.

Hutan lipur di bawah seliaan Pejabat Hutan Daerah Temerloh itu juga terletaknya Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh yang memiliki lebih 100 gua batu kapur dan ada di antaranya masih aktif.

Daripada keseluruhan gua batu kapur yang ada di situ, hanya sebilangan sahaja  boleh dijelajahi dan setiap gua mempunyai mitos serta kisah misteri masing-masing.

Bagi mendekati keunikan tersebut, Persatuan Komuniti Pendaki Pahang (Hamoc) bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) menganjurkan eksplorasi meneroka gua tersebut.

Batu berbentuk mayat dikapan

Eksplorasi disertai 25 peserta itu  memulakan perjalanan merentas denai kecil sejauh 3.5 kilometer menuju Gunung Jebak Puyuh.

Gunung Jebak Puyuh memiliki tujuh gua menarik untuk dijelajahi iaitu Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Kapal, Gua Mayat, Gua Candi, Gua Straw dan Gua Ular.

Aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam aktiviti meneroka gua selain pemakaian pakaian sesuai dan paling penting lampu suluh.

Gua Ular menyambut ketibaan peserta dan  difahamkan ia mendapat nama sempena lakaran fosil ular di dinding gua selain lakaran penyu.

Ketika memasuki Gua Mayat, peserta akan bertemu dengan batuan berbentuk mayat dikapankan.

Ada laluan yang memaksa peserta perlu meredah lubang kecil dengan langkah penuh berhati-hati bagi mengelak terkena stalaktit dan stalagmit yang tercacak di atas kepala.

Eksplorasi diteruskan ke gua lain sebelum berakhir dengan melawat Kolam Biru 9 sambil menikmati hidangan tengah hari.

Berasal dari dasar laut

Hari kedua, peserta eksplorasi menuju ke Gunung Senyum menerokai beberapa gua seperti Gua Terang Bulan, Hidang, Taman Satu, Taman Dua, Angin, Merlap, Kolam Tujuh dan Gelap.

Terdapat satu batuan karang bersaiz besar dan kajian yang dijalankan mendapati di dalamnya terdapat kayu diliputi karang dasar laut.

Fosil kerang di dasar gua ini membuktikan bahawa Gunung Senyum asal dari dasar laut yang terangkat ke permukaan kerak bumi.

Setiausaha Hamoc, Mohd Dzamzury Hudda Mat Kassim berkata, eksplorasi bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang kebanyakannya kali pertama mengikuti aktiviti meneroka gua batu kapur.

Menurutnya, Hamoc merupakan persatuan yang memainkan peranan mempromosikan lokasi ekopelancongan di negeri ini.

“Peserta juga mengikuti aktiviti sosial dengan ramah mesra bersama penduduk Felda Jengka 25,”katanya.

Sementara itu, Penasihat Kelab Sukan dan Rekreasi Polisas, Lt M Mahatir Sayudin berkata, penglibatan pelajar dapat meningkatkan sahsiah diri melalui aktiviti lasak yang dilakukan secara berkumpulan.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr