A- A A+
24 Aug, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

SUNGAI Lembing terkenal kerana aktiviti perlombongan bijih timah 100 tahun lalu dan kini ia menjadi antara destinasi wajib dikunjungi pelancong dalam dan luar negara sekiranya mereka tiba di sini.

Mengikut ceritanya, kedatangan pelombong Melayu, Inggeris, Cina dan Benggali ke sini, mewujudkan beberapa perkampungan kecil di sekitar kawasan berkenaan antaranya Kolong Pahat yang memudahkan mereka melakukan aktiviti melombong.

Mendengarkan nama Kolong Pahat itu sendiri, pastinya ramai yang boleh meneka asal usul kampung berkenaan mendapat gelaran.

Ketua Kampung, Mohd Yusof Hassan, 65, berkongsi cerita mengenai asal usul Kolong Pahat yang bermula sekitar 1930-an.

Menurutnya, terdapat terowong atau lebih dipanggil kolong oleh orang tempatan pada masa itu, yang dibuat hanya menggunakan pahat.

Katanya, disebabkan terdapat pelombong yang membuka penempatan di kawasan itu, mereka menamakannya Kampung Kolong Pahat.

"Hanya kolong itu saja yang dipahat, selebihnya dibuat guna mesin dan peralatan lain," katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kolong pertama dibuat menggunakan pahat untuk laluan ke bawah tanah bagi kerja melombong bijih timah.

"Pada masa itu, teknik perlombongan bawah tanah dengan membina kolong lebih sesuai memandangkan batuan di kawasan itu agak keras dan menyukarkan pelombong membuat lubang.

"Pelombong bekerja ikut syif masing-masing... mereka memahat batu untuk buat kolong. Memahat batu tak sama macam kayu sebab kena ikut urat batu, kalau silap batu boleh jatuh dan timpa pelombong," katanya.

Mengimbau kembali zaman kegemilangan Kolong Pahat di Sungai Lembing ini, Mohd Yusof berkata, pada masa itu, suasana sangat meriah apabila 30,000 pelombong pelbagai bangsa tinggal di kawasan sama berbanding sekarang hanya tinggal 6,000 penduduk.

“Orang di sini dahulu mewah... Sungai Lembing kawasan bebas cukai dan semua barang-barang import ada dijual di sini dengan harga murah. Jika pergi ke bandar Kuantan, kalau melihat orang yang bergaya dan berpakaian mewah itu, sudah tentu datang dari Sungai Lembing.

“Apa tidaknya, pekerja lombong berpeluang membeli barangan import berjenama di gudang syarikat seperti kemeja Arrow dan kasut Clarks yang harganya jauh lebih murah berbanding di Kuantan, selain jam tangan berjenama seperti Rolex,” katanya.

Malah, katanya, penduduk juga boleh menonton filem dari Britain dan Hollywood di panggung wayang di situ sebagai hiburan.

Bagaimanapun, kini panggung wayang itu ditukar menjadi dewan orang ramai.

Beliau berkata, jika diukur, terowong bijih timah di Sungai Lembing mempunyai kepanjangan 322 kilometer dengan kedalaman antara 500 meter hingga 700 meter.

Menurutnya, aktiviti perlombongan bijih timah di Sungai Lembing dijalankan Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

"Pusat lombong bijih timah ini pernah mencapai kegemilangan sekitar 1940-an dan 1950-an kerana masa itu ia lokasi lombong bawah tanah terbesar di dunia.

"Lombong itu ditutup sekitar 1986 kerana kos operasinya yang tinggi dan kejatuhan harga bijih timah," katanya.

Setelah ditutup selama 26 tahun, Kerajaan Negeri Pahang dengan bantuan Kerajaan Persekutuan telah membangunkan semula Terowong Sungai Lembing untuk dijadikan pusat pelancongan baharu negeri ini dan ia diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk kawal selia.

Terowong Sungai Lembing itu dinamakan ‘The Living Museum of Sungai Lembing’ kerana ianya muzium hidup tinggalan sejarah perlombongan bijih timah yang masyhur suatu ketika dahulu.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr