KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd, menerusi unitnya, Resorts World Genting (RWG) secara rasmi membuka Taman Tema Genting SkyWorlds kepada orang ramai bermula hari ini. "Taman Tema Genting SkyWorlds secara rasmi dibuka!" kata RWG dalam satu hantaran kemas kini di Facebook. Ia menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac 2022. Semasa tempoh pembukaan pra-pelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan, yang mana pengunjung boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.
Harga tiket penuh bagi tiket standard berharga RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas/orang kelainan upaya (OKU) berharga RM161 dan percuma bagi kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm. Sementara, harga tiket selepas diskaun pra-pembukaan sebanyak 20 peratus ialah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak ketinggian 90cm ke 110 cm dan warga emas/OKU. Selepas membeli tiket secara dalam talian, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery. Aplikasi itu bukan saja akan memberi panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan Genting SkyWorlds, malah turut membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.
Antara ciri-ciri aplikasi itu ialah, masa menunggu akan dipaparkan di aplikasi itu dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih. Dengan keluasan 10.4 hektar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan 'dunia' yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia. RHB Research dalam notanya baru-baru ini berkata, taman tema berkenaan mampu menyumbang di antara RM210 juta hingga RM290 juta kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahunan Genting Malaysia, berdasarkan kepada anggaran 10,000 pengunjung sehari.
Ia berkata, Genting SkyWorlds akan mempercepatkan trend pemulihan perniagaan Genting Malaysia kerana ia bakal menjadi tarikan orang ramai dan menyediakan aliran pendapatan baharu selain turut memanfaatkan kemudahan lain dalam RWG.