KUANTAN - Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran tujuh hingga lapan juta pelancong domestik ke Pahang tahun ini. Sasaran itu dijangka mampu dicapai walaupun beberapa lokasi pelancongan di negeri ini termasuk di daerah Bentong dan Temerloh terjejas akibat banjir baru-baru ini. Exco Pelancongan, Kebudayaan,Alam Sekitar,Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bagi lokasi tumpuan pelancong di kawasan lain yang tidak terjejas banjir ia dibuka seperti biasa
Menurutnya, kerajaan negeri tidak meletakkan sasaran kemasukan pelancong asing mengambil kira jangkaan kehadiran mereka tidak tinggi ekoran pelbagai kekangan yang dihadapi ketika ini. "Bagi pelancong domestik kita yakin sasaran itu mampu dicapai dan sekiranya pandemik Covid-19 mulai reda, bilangan pelancong domestik ke negeri ini mungkin akan meningkat dari jumlah yang disasarkan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran 'This Is Pahang 2022-Unlimited dan Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang di sini pada malam isnin.
Majlis disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah. Turut hadir, Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.