KUANTAN - Kerajaan Pahang telah menyalurkan bantuan hampir RM600,000 kepada pemain industri pelancongan yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bantuan melalui Tourism Pahang itu termasuk bantuan khas kepada pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, seramai 522 penerima menerima manfaat bantuan tunai RM100 dan barangan bermilai RM50 dengan jumlah keseluruhan RM78,300 itu. "Pada masa sama, Bantuan Prihatin Covid-19 turut dihulurkan kepada golongan itu dengan 450 penerima. "Setiap penerima menerima bantuan tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM270,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin. Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri turut membantu badan bukan kerajaan (NGO) sektor pelancongan di negeri ini.
"Sebanyak empat NGO menerima manfaat bantuan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM80,000," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/176431/EDISI/RM600000-bantu-pemain-industri-pelancongan-terjejas © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf