TEMERLOH - Agensi-agensi pelancongan di negeri ini diseru menyediakan lebih banyak pakej aktiviti berbasikal di destinasi pelancongan berikutan populariti aktiviti tersebut. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia dapat memberi pilihan kepada penggemar aktiviti itu untuk memilih destinasi pelancongan bersesuaian dengan minat mereka.
Menurutnya, aktiviti itu juga diminati pelancong asing yang ingin menerokai lebih banyak destinasi menarik menerusi berbasikal selain masyarakat setempat. "Bagi merancakkan aktiviti berbasikal selain mempromosikan destinasi pelancongan negara, Tourism Pahang mencadangkan agensi pelancongan menghasilkan lebih banyak pakej-pakej aktiviti ini di destinasi pelancongan. "Ia dapat memberi pilihan penggemar aktiviti ini memilih destinasi bersesuaian dengan kehendak dan citarasa mereka.
"Sebagai contoh, pada 2014 sebanyak 4,072 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM725,612 telah dijual di seluruh negara," katanya dalam ucapan perasmian penutup acara Temerloh Titik Tengah Semenanjung Ride 2021 anjuran Tourism Pahang di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin di sini pada Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.
Hadir sama, Ketua Zon Dua Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sobri Mohamed Salleh dan Ketua BBP Bukit Angin, Jalailuddin Abdul Mubin.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174964/EDISI/Sediakan-pakej-berbasikal-di-destinasi-pelancongan © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf