02 Jun, 2023
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

pahangtourism 

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser

Peniaga kuih tradisional, Azian Ali, ceria menyambut beberapa petugas media singgah di kedainya berhampiran jambatan Kuala Melaka, Langkawi pada hari pembukaan projek rintis gelembung pelancongan di pulau peranginan itu. Azian atau lebih mesra disapa Kak Yan ialah bekas pekerja industri pelancongan terpaksa bertukar angin menjadi pengusaha kecil akibat pandemik COVID-19 melanda negara sejak penghujung 2019, sekali gus menjejaskan industri berkenaan termasuk Pulau Langkawi.

Kedai Kak Yan antara lokasi persinggahan wajib setiap kali rakan media bertugas di Langkawi sejak tahun lalu, untuk membeli kudapan minum petang atau memborong kuih tradisional lain. Realitinya kehidupan majoriti penduduk Langkawi ada hubung kait dengan industri pelancongan negara yang menjadikan pulau itu antara lokasi tarikan utama bagi pasaran domestik dan antarabangsa. Ia tidak bermakna apabila industri pelancongan menjadi suram sejak Mac tahun lalu, ramai penduduk Langkawi tidak makan atau minum, tetapi ia sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada kehidupan dan keluarga mereka. Jadi tidak hairan apabila Langkawi ditutup bagi pelancongan, mereka tidak mempunyai pilihan selain duduk di rumah selepas hampir semua kedai cenderamata, syarikat operator pelancongan, perkhidmatan kenderaan sewa dan perhotelan terpaksa menggantung operasi. Apabila Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi diumumkan kerajaan, penduduk pulau ini termasuk peniaga kecil antara yang gembira kerana mereka dapat bernafas kembali selepas berhadapan ketidaktentuan hampir dua tahun. Hakikatnya, pelaksanaan gelembung pelancongan ini bukan hanya semata-mata bagi membantu penduduk tempatan Langkawi sahaja, tetapi amat bermakna kepada kerajaan dalam mengukuhkan kembali ekonomi negara.

Pada 2019, industri pelancongan menyumbang sehingga 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain turut membuka pelbagai peluang pekerjaan dalam industri di bawahnya di seluruh negara. Kejayaan pelaksanaan projek rintis ini akan menjadi kayu ukur kepada perancangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membuka pulau pelancongan lain seperti Pangkor, Tioman dan Redang pula selepas ini. Ia dapat dilihat apabila wakil Tourism Pahang turut berada di Langkawi ketika pembukaan semula pulau itu kepada pelancong Khamis lalu, bagi meninjau persiapan dan bagaimana program itu dilaksana semua pihak berkaitan. Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sendiri turut 'berkampung' di Langkawi bagi memastikan projek ini mencapai hasrat seperti ditetapkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. Bagaimanapun, pertukaran prosedur operasi standard (SOP) pada saat akhir diumumkan petang Rabu lalu, mewajibkan semua pelancong ke Langkawi menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan sedikit mengejutkan.

Ketika itu, timbul kebimbangan dalam penggiat industri bahawa SOP berkenaan bakal menyebabkan pelancong mengelak ke Langkawi kerana perlu menanggung kos tambahan sebelum dapat menjejakkan kaki ke pulau ini. Mujur juga, Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak pantas menempatkan pasukan petugas di lapangan terbang dan terminal feri bagi membolehkan pelancong melakukan ujian pengesanan dengan cepat dan pada harga berpatutan. Bagi yang masih ragu-ragu tahap keselamatan ketika melancong ke Langkawi, mereka seharusnya tidak bimbang kerana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah ditempatkan di 22 lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan SOP. Sekiranya semua SOP terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial terus dipatuhi semua pelancong, maka lawatan ke Langkawi dalam tempoh gelembung pelancongan ini bakal menjadi kunjungan yang menarik.

Langkawi masih belum 'dibanjiri' pelancong sepenuhnya, selain ketiadaan pelancong luar boleh dikata menyebabkan harga bilik penginapan, makanan dan sewa kenderaan masih dalam lingkungan mampu dijangkaui rakyat tempatan. Namun, bagi memastikan keyakinan pelancong tahap keselamatan di Langkawi, mereka dinasihat tidak melakukan pergerakan dalam kumpulan besar ketika melawat ke lokasi tumpuan. Kaedah ini dilihat dapat membantu mengelak terlalu ramai pelancong berkumpul di sesuatu lokasi, sekali gus menyebabkan risiko penularan wabak. Begitu juga ketika berada di lapangan terbang atau terminal feri, pelancong boleh bergerak secara teratur ketika proses pemeriksaan dan sabar melalui setiap langkah demi menjamin keselamatan pengunjung dan penduduk tempatan lain.

 mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr

Statistik Kedatangan Pelancong Ke Negeri Pahang STATISTIK KEDATANGAN PELANCONG MENGIKUT NEGARA ASAL KE PAHANG Statistik Kedatangan Pelancong Ke Negeri Pahang Mengikut Segmen MYHRMIS MOBILE
Dasar Privasi