20 Apr, 2021
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

Kuantan: Pelancaran tema baharu pelancongan Pahang iaitu 'This Is Pahang' diyakini merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri itu yang terjejas teruk akibat Covid-19 sejak Mac tahun lalu. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tema baharu itu juga akan membantu mempromosikan produk pelancongan baharu dan sedia ada yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, 'This Is Pahang' adalah satu permulaan dan banyak lagi promosi produk pelancongan akan dilakukan selepas penularan Covid-19 berjaya diutuskan sepenuhnya. "Kejatuhan drastik sektor pelancongan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah memberi kesan kepada industri pelancongan di seluruh dunia. "Pemilihan tema baharu ini bagi menggantikan 'Pahang Simply Awesome' yang digunakan sejak 2019 sebagai suntikan semangat kepada pengusaha pelancongan untuk kembali bangkit," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan tema berkenaan, di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Naib Canselor UCYP, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin dan Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 7.43 juta pelancong berkunjung ke Pahang berbanding 13.99 juta pada 2019. Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan 46.87 peratus dan tema baharu itu diharap membantu meningkatkan kembali kedatangan pelancong. "Antara produk pelancongan baharu di Kuantan ialah Menara Kuantan 188 dan Kuantan Art Street . Belum lagi produk baru di daerah lain di Pahang," katanya. Sumber - Harian Metro

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr