A- A A+
21 Oct, 2020

Facebook twitter You Tube Instagram

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengemukakan tiga cadangan cuti bagi mengelakkan industri pelancongan lumpuh berikutan dunia ketika ini dilanda pandemik koronovirus (Covid-19). Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, cadangan berkenaan ialah mewujudkan empat giliran waktu kerja, mengubah sistem cuti pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah berbeza. Jelas beliau, mengikut cadangan pertama, akan ada empat kumpulan yang bekerja dan dalam satu minggu, satu kumpulan boleh mengambil cuti pada Jumaat jika mereka bercuti Sabtu dan Ahad manakala yang bercuti Jumaat dan Sabtu boleh mengambil cuti pada Ahad.

“Ini boleh dilakukan secara bergilir setiap minggu bagi kumpulan kerja yang berbeza. Melalui cara ini setiap kumpulan kerja dapat bercuti selama tiga hari untuk melancong ke destinasi menarik dalam negara. “Jika setiap minggu ada rakyat yang bercuti, pastinya merancakkan sektor pelancongan domestik, sekali gus membantu pengusaha rumah rehat dan hotel meneruskan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, bagi cadangan kedua pula, jika dapat dilaksanakan, aktiviti pelancongan domestik tidak hanya tertumpu pada hari minggu sahaja malah hari lain iaitu Isnin hingga Khamis, bagi memberi peluang kepada mereka tidak bekerja boleh bercuti bersama keluarga.

Katanya, negara mempunyai kira-kira 15 juta pekerja dan jika 500,000 orang bercuti setiap hari, ia dapat merancakkan sektor pelancongan domestik sekali gus majukan pelancongan negara secara keseluruhannya. Selain itu, cadangan ketiga pula katanya, musim cuti persekolahan perlu diubah supaya semua sekolah tidak bercuti serentak. “Sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya tiga atau empat negeri yang bercuti. Ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong yang menyebabkan kesesakan kerana bercuti pada masa sama.

“Saya melihat tiga cadangan ini perlu dilaksanakan ketika ini supaya kita merancakkan sektor pelancongan domestik negara,” katanya. Mohd Sharkar bimbang jika aktiviti pelancongan domestik hanya tertumpu pada cuti hujung minggu atau hari tertentu, akan menyebabkan kesesakan melampau sebagaimana berlaku di Cameron Highlands dan Kuala Gandah. Menurut beliau, jika tiada perancangan bersepadu sebagaimana dicadangkan itu, usaha memulihkan ekonomi negeri akan mengambil masa panjang, iaitu antara dua hingga tiga tahun untuk kembali ke tahap normal selepas pandemik Covid-19 berakhir. “Ini mengambil kira keadaan di seluruh dunia yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang akan menyaksikan pelancongan antarabangsa tidak dapat beroperasi,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104524/EDISI/Pahang/Tiga-cadangan-cuti-perkasa-pelancongan-domestik-negara© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr