A- A A+
27 May, 2020

Facebook twitter You Tube Instagram

KUANTAN - Kerajaan Pahang membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi memutuskan rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini. Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri mengambil berat kesukaran dihadapi peniaga dan meminta agar pihak pengurusan aplikasi PahangGo supaya menawarkan perkhidmatan dalam talian kepada peniaga. "Perkhidmatan itu (dalam talian) yang ditawarkan memudahkan peniaga untuk terus meraih sumber pendapatan hasil daripada pesanan makanan yang dibuat untuk juadah berbuka puasa.

"Saya akui keputusan itu menyebabkan 94 lokasi penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri membabitkan seramai 4,639 peniaga berdasarkan statistik penganjuran bazar Ramadan tahun lalu akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan melancarkan platform pasar raya dalam talian atau portal dikenali sebagai ‘PahangMart’ yang akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi di negeri ini berserta barang jualan mereka.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, senarai tapak bazar Ramadan turut dipaparkan termasuk gerai jualan dan pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan. "Pengguna boleh membuat tempahan menerusi PahangGo dan penghantaran pesanan akan terus dihantar kepada mereka. "Inisiatif itu diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat untuk membeli juadah bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, sebaliknya dapat membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak Covid-19," katanya. Dalam pada itu beliau berkata, rakyat di negeri ini yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar boleh menghubungi PahangGo menerusi laman sosial untuk mendapatkan maklumat. Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, penutupan bazar Ramadan itu dibuat bagi menyahut saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan atau tidak.

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr