• Cetak

KUANTAN - Pahang tidak menyekat kedatangan pelancong menerusi penerbangan antarabangsa dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) susulan penularan koronavirus (Covid-19). Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ini kerana penerbangan pertukaran dari Taiwan menerusi Singapura itu sudah menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri sudah meletakkan tiga mesin pengimbas haba di LTSAS. "Kita sudah pastikan ada mesin pengimbas haba tetapi prosedur lanjut akan dilakukan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang akhbar berhubung isu semasa sektor pelancongan Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar.

Pada masa ini jadual penerbangan Singapura ke Pahang ialah tiga kali seminggu, dua dari Singapura dan satu penerbangan pertukaran dari Taiwan. Penerbangan tersebut ialah oleh Scoot Air Singapura; Fire Fly Singapura dan Charted Flight China (tidak berjadual).