A- A A+
23 Feb, 2020

Facebook twitter You Tube Instagram

PAHANG mensasarkan jumlah kedatangan 15 juta pelancong termasuk dari luar negara ke negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 pada tahun ini. Walaupun wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) dijangka memberi kesan terutama jumlah kedatangan pelancong dari China ke Pahang, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang akan meningkatkan promosi pelancongan di negeri itu. Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya kini mensasarkan lebih ramai kedatangan pelancong dari Amerika Selatan dan Russia.

Menurutnya, berdasarkan kajian, pelancong Amerika Selatan dan Russia lebih gemarkan kepada aktiviti dan menginap dalam beberapa hari apabila berkunjung ke Pahang. “Kita harapkan dengan mempertingkatkan promosi pelancongan, Pahang akan dapat menarik lebih ramai pelancong dan tidak terlalu bergantung kepada pelancong China. “Berdasarkan statistik, China merekodkan kedatangan pelancong kedua terramai iaitu 1 juta manakala pelancong Singapura mencatat kedatangan 2 juta selain selain daripada India, Indonesia dan Thailand. “Pada masa sama, kita turut mensasarkan kehadiran pelancong tempatan untuk melancong di tempat menarik di seluruh Pahang sempena TMM 2020,” katanya ketika sidang media Pertandingan Video Pendek Pelancongan Pahang 2020 di pejabat Tourism Pahang di Kuantan hari ini.
 
Berdasarkan statistik tahun lalu, Tourism Pahang merekodkan jumlah kedatangan 13.4 juta pelancong tempatan dan luar negara ke negeri itu. Ditanya langkah pencegahan penularan jangkitan wabak terbabit di Pahang, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri melakukan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk ke Pahang. Katanya, tiga pintu masuk berkenaan ialah di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Pelabuhan Kuantan dan Kampung Tekek di Pulau Tioman. “Alat pengesan haba ditempatkan di situ bagi mengesan individu yang mungkin mengalami simptom terutama demam,” katanya.

  

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr