PADA awal Mac lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengiktiraf kawasan di barat Pahang yang meliputi daerah Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bentong sebagai Wilayah Pelancongan Durian kerana mempunyai kawasan penanaman serta pengeluaran durian terbesar di negara ini. Pengeluaran durian yang tinggi di kawasan berkenaan khususnya Bentong dan Raub mampu menjadikan lokasi tersebut sebagai kawasan ekopelancongan dan agropelancongan.
Atas inisiatif berkenaan, satu karnival dikenali Wow Wild Bentong (WWB) akan diadakan di Tapak Karnival Bentong pada 12 hingga 14 Julai ini. Karnival tersebut merupakan anjuran Persatuan Penggerak Hijau Bentong. Pengarah Projek Karnival WWB, Mohd. Faizal Izwan berkata, terdapat banyak aktiviti dianjurkan sepanjang tiga hari program berkenaan berlangsung. “Antara yang paling utama tentulah aktiviti berkaitan durian seperti penjualan durian dengan harga runtuh, demonstrasi memasak, lelongan durian terbaik dan penjualan produk berasaskan durian.
“Durian dari Bentong amat bermutu tinggi. Antara yang akan dijual pada harga rendah daripada harga pasaran adalah durian jenis Musang King, D24, IOI dan durian kampung,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Temuan
Selain itu terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk disertai seisi keluarga seperti peraduan mewarna, pameran gerai makanan serta produk, persembahan karaoke, pertandingan modifikasi motosikal tercantik dan persembahan malam kebudayaan. Di samping itu, Mohd. Faizal memberitahu, karnival itu juga ingin memberi peluang kepada Orang Asli suku Temuan di kawasan Bentong memperkenalkan budaya, tradisi dan produk-produk mereka. “Kami berasa seronok apabila mereka (Orang Asli) bersetuju untuk sama-sama menyertai karnival ini. Mereka begitu bersemangat melakukan latihan tarian tradisional untuk dipersembahkan kepada pengunjung pada malam kebudayaan kelak. “Selain itu, mereka juga ada membuat beberapa produk kraf tangan untuk dijual dan dipamerkan pada orang ramai,” ujarnya.
Tambah Mohd. Faizal, aktiviti WWB sebenarnya bukan saja untuk memperkenalkan kepada orang luar dari Bentong melihat keistimewaan yang terdapat di kawasan berkenaan, malah memberi peluang kepada penduduk dan masyarakat setempat mempamerkan bakat masing-masing. “Kami berharap agar ramai masyarakat di luar sana dapat hadir dan menyertai aktiviti yang disediakan bersama-sama. “Kami jamin sepanjang tiga hari karnival berlangsung, pengunjung tidak akan bosan untuk mengikuti pelbagai acara sama ada yang berlangsung di tapak karnival mahupun di kawasan-kawasan lain,” tuturnya. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival tersebut, layari Facebook Wow Wild Bentong.