Aktiviti luar seperti perkhemahan, berkayak, mendaki gunung dan eksplorasi gua yang digerakkan mengikut usia serta kemampuan cukup menyeronokkan apatah lagi impaknya boleh menghilangkan tekanan. Aktiviti seperti itu dapat menjana perkembangan positif kendiri menerusi motivasi pembelajaran, kepimpinan, pembinaan sahsiah selain menyuntik kemahiran bidang tertentu. Melihat potensi perkembangan tersebut, sebuah NGO dari Putrajaya, Para Pejalan Outdoors (PPO) menganjurkan program perkhemahan ibu bapa dan anak-anak di Taman Rimba Kenong dekat Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama sebuah NGO lain, Be Always Near To The Unfortunates (BANTTU). Taman rimba itu dipilih sebagai lokasi program kerana di situ terdapat hutan rimba berusia jutaan tahun, sungai, gua batu kapur serta kemudahan penginapan, pengangkutan bot penambang dan aktiviti ekstrem. Seramai 75 peserta yang terdiri daripada 15 keluarga yang juga ahli PPO dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai perkhemahan yang diadakan selama dua hari itu. Penyelaras program, Syamsuri Saari, 41, berkata, perkhemahan itu bertujuan mengukuhkan ikatan kekeluargaan kerana penyertaan melibatkan ibu bapa dan anak masing-masing.

“Kem ini memberikan pengalaman baharu serta menanam minat serta menyuburkan potensi diri anak-anak ahli PPO sempena cuti persekolahan menerusi aktiviti yang diadakan. “Pengalaman berkhemah dan aktiviti seperti berkayak, berenang di Sungai Kenong dan menjelajah gua batu kapur mampu mendekatkan minat serta kasih sayang mereka terhadap alam sekitar,” katanya kepada Mega Rona di Taman Rimba Kenong, baru-baru ini. Tambah Syamsuri, usaha yang dilakukan itu juga signifikan untuk mempromosi gaya hidup sihat sekali gus dapat membendung gejala `ketagih gajet’ yang menular dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak.

Katanya, paling unik program berkenaan turut disertai peserta berusia empat tahun, Uthman Affan Aidil dari Kuantan, Pahang. “Sepanjang dua hari program berlangsung, ahli keluarga PPO menyertai aktiviti seperti berkhemah, sesi percambahan fikiran, tubing dan berkayak di Sungai Kenong. Selain itu, peserta juga didedahkan dengan kemahiran berenang dan aspek keselamatan di dalam air. Malah, mereka turut berpeluang mencuba permainan tradisional dan meme–riahkan malam kebudayaan,” katanya. Peserta dari Pulau Pinang, Nor Azlin Taharin, 42, berterima kasih kepada PPO kerana mengan­jurkan program yang disifatkan sebagai aktiviti menyeronokkan itu.

“Setelah penat belajar di kelas sepanjang sesi persekolahan, program ini dianggap sebagai ganjaran kepada mereka. Jadi, ia wajar diteruskan pada musim cuti persekolahan akan datang. Kalau boleh, buat di lokasi lain yang lebih mencabar,” katanya. Menurutnya, aktiviti yang dilakukan seperti kemahiran berenang, mengemudi kayak, meneroka gua serta permainan tradisional selama sehari suntuk membuatkan anak-anak lupa seketika telefon pintar dan aplikasi permainan android.

Sementara itu rakannya dari Shah Alam, Mohd. Taufik Ishak, 43, berkata, program itu mampu mendekatkan hubungan ahli keluarga PPO dan BANTTU dari seluruh Semenanjung selain bermanfaat kepada anak-anak yang memperoleh kenalan baharu. “Kemudahan di taman rimba ini cukup selesa dan sesuai bagi keluarga berkunjung serta menginap sambil menyertai aktiviti ekstrem,” ujarnya. Tambahnya, NGO terlibat diharap dapat menganjurkan lebih kerap program kekeluargaan semasa cuti sekolah bagi mengeratkan hubungan ahli di samping mengenali lebih dekat kawasan pelancongan di negara ini.