Ketua pendaki, Fazli Ahmad berkata, masa persiapan memang suntuk tetapi kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat baik sekali gus membolehkan program berjalan lancar. Katanya, acara itu nampak mudah tetapi apabila membabitkan Yang di-Pertuan Agong, persiapan rapi perlu dilakukan termasuk protokol. “Saya bersyukur dengan masa yang suntuk, majlis berjalan lancar,” katanya kepada S2. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Program anjuran Kelab Media Pahang itu diadakan dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia Wilayah Timur serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang. Inisiatif mengadakan program itu adalah sebagai pengisian untuk memeriahkan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser.

Pendaki pula terdiri daripada pengamal media, kakitangan JBPM Pahang, JBPM Putrajaya, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan. Mengulas lanjut Fazli berkata, apabila cadangan itu dihebahkan, pihaknya menerima sambutan yang amat mengejutkan. Katanya, penganjur menerima lebih 100 penyertaan dan untuk tidak menghampakan permintaan daripada pelbagai pihak, seramai 114 pendaki dipilih. Daripada jumlah itu, seramai 108 pendaki berjaya menjejakkan kaki ke puncak Pine Tree manakala tiga pendaki berpatah balik dengan diiringi tiga anggota bomba. Beliau yang kagum dan teruja atas sokongan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang sudi berangkat pada upacara flag off berkata, agak mengejutkan apabila Seri Paduka turut meluangkan masa beramah mesra dengan pendaki.

“Sejak Kelab Media Pahang menganjurkan program mendaki, Seeri Paduka dan Raja Permaisuri Agong sentiasa memberi sokongan. Tentunya acara di Bukit Fraser ini memberikan pengalaman dan kenangan kepada semua pendaki,” tambahnya. Menurutnya, acara itu cukup bermakna buat penggemar aktiviti mendaki kerana dianjurkan sempena 100 tahun Bukit Fraser yang merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di Malaysia. Lebih bermakna apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat menyempurnakan upacara flag off pendaki. Sementara itu Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, sambutan itu diadakan bagi meningkatkan promosi Bukit Fraser sebagai pusat pelancongan tanah tinggi menarik di Pahang selain Cameron Highlands dan Genting Highlands. “Terkenal dengan jolokan Little England, Bukit Fraser memiliki tarikan tersendiri terutama sebagai lokasi memerhati burung yang turut menarik kunjungan pelancong luar negara selain terkenal sebagai lokasi mendaki dan merentas hutan di laluan yang disediakan,” katanya.

Bukit Fraser mempunyai lapan trek yang menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki antaranya Pine Tree Trail sejauh 5.5 kilometer, Maxwell Trail (1.8km), Bishop Trail (1.5km), Rompin Trail (500 meter), Kindersley Trail (300 meter), Hemmant Trail (1km), Abu Suradi Trail (500 meter) dan Mager Trail (350 meter). Namun laluan paling mencabar tentulah Pine Tree, Twin Peak dan Gunung Semangkok yang menuntut ketahanan fizikal pendaki. Selain itu, kekuatan tangan juga diperlukan bagi melepasi cerun tegak menggunakan tali sebelum sampai ke puncak Pine Tree pada ketinggian 1,448 meter dari aras laut.