Janda Baik di Bentong Pahang tetap menjadi destinasi pilihan ramai bagi percutian jangka pendek terutama pada hujung minggu. Tarikan alam semula jadi yang menampilkan suasana damai rimba, deruan aliran sungai, udara nyaman serta persekitaran kampung nan sentosa menjadikan ia pilihan bagi mereka yang mahu lari seketika daripada kesibukan kota. Janda Baik terletak kira-kira 45 minit pemanduan dari ibu negara menggunakan susur keluar Genting Sempah.
Terdapat banyak gerai menjual hasil kampung seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta madu lebah bagi membolehkan pengunjung membawa pulang sebagai buah tangan. Selain itu, kedai dan gerai makan yang diusahakan masyarakat tempatan menawarkan pelbagai hidangan dengan cita rasa ala kampung dikelilingi suasana nyaman dan kehijauan hutan yang masih terpelihara. Tidak hairanlah Janda Baik turut menjadi tumpuan pengusaha chalet, inap desa, kem motivasi dan sekolah tahfiz menjalankan operasi mereka. Satu daripada rumah peranginan di sini adalah Embun Luxury Villas. Mula beroperasi pada 1 Oktober tahun lalu, ia menjanjikan pengalaman berbeza bagi pengunjung yang mencari kelainan di Janda Baik. Jika kebanyakan rumah peranginan menjadikan landskap sungai sebagai tarikan, Embun memilih untuk menonjolkan elemen tanah tinggi Janda Baik kepada pengunjungnya. Berikutan itu, semua vila di sini dibina di puncak bukit yang tingginya kira-kira 300 meter. Pemilik Embun, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, ia merupakan konsep baharu. Katanya, pengunjung boleh menikmati panorama 360 darjah dan sememangnya indah. “Semasa merancang pembinaan Embun, kami melakukan yang terbaik bagi memelihara elemen semulajadi di sini dengan memastikan konturnya tidak terjejas dan pokok-pokok kekal berada di tempatnya. “Kerana itu walaupun di peringkat awal kami merancang membina 12 unit vila tetapi akhirnya dikurangkan kepada lapan sahaja demi menjaga suasana asli kawasan ini,” kata beliau.
Vila-vila Embun menampilkan reka bentuk ala Bali. Elemen kayu, ruang dan privasi menjadi keutamaan dengan setiap vila mempunyai ruang legar luas, siling tinggi serta dipisahkan dengan tembok tinggi.
Pokok buah-buahan seperti durian dan pulasan juga dikekalkan di tempat asalnya demi menjaga kelestarian alam dan memberi suasana segar kepada pengunjung. Untuk ke vila, pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri hingga ke kawasan khas sebelum dibawa ke kawasan vila di puncak bukit menggunakan kenderaan buggy. Selain memudahkan pengunjung ke vila, cara itu adalah antara polisi Embun untuk mengelak gangguan bunyi, pencemaran asap, kesesakan trafik serta menjaga privasi pengunjung. Antara kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah rumah kelab, ruang mesyuarat dan seminar, gimnasium, restoran, barbeku serta pakej-pakej istimewa seperti majlis perkahwinan, percutian berbulan madu dan percutian keluarga. Sejurus tiba di puncak, pengunjung pasti terpesona dengan panorama hijau bukit-bukau sejauh mata memandang. Dari situ juga kelihatan pusat peranginan lain seperti Genting Highlands dan Bukit Tinggi.
Berjalan di sekitar Embun, pengunjung pasti akan terpesona dengan susunan landskap yang mengenengahkan elemen tumbuhan herba. Bahkan vila di sini turut dinamakan dengan tumbuhan herba termasuk selasih, serai, ulam raja, kantan, salam dan pandan. Norraesah berkata, elemen air juga dijadikan satu daripada perkara penting di kawasan vila itu . Ini mendorong beliau memutuskan untuk menyediakan kolam renang peribadi dengan reka bentuk berbeza di setiap vila berkenaan. Selain itu, kolam ikan dan pancuran air juga sinonim dengan kawasan vila yang terdapat di ruangan umum seperti di rumah kelab mahu pun di setiap villa.
Norraesah menganggap bunyi air sebagai terapi yang dapat memberikan rasa damai dan tenang kepada jiwa. “Embun adalah tempat yang sesuai bagi sesiapa sahaja yang mahukan persekitaran tenang, damai dan segar tetapi tidak jauh dari ibu kota,” katanya. Bagi penulis, tarikan paling menarik adalah di Vila Selasih yang mempunyai kolam renang infiniti. Vila Selasih juga adalah antara vila dengan lokasi paling strategik untuk menikmati pemandangan matahari terbit. Selain itu, Vila Pandan turut menawarkan pengalaman istimewa dengan kolam renang yang terletak sama tinggi dengan pokok durian yang tumbuh liar di kawasan ini.
Kasih ibu
DR. NORRAESAH MOHA MAD (depan, tiga dari kanan) bergambar bersama pekerja berlatarbelakangkan pemandangan gunung-ganang.
Norraesah menjelaskan, beliau menamakan pusat peranginan itu sebagai Embun atas beberapa sebab yang amat peribadi dan dekat di hatinya. “Embun adalah nama ibu saya. Beliau merupakan wanita cekal yang membesarkan anak-anaknya dengan pendidikan walaupun beliau sendiri tidak tahu membaca atau menulis. “Embun juga merujuk kepada titisan-titisan air yang muncul pada permukaan daun pada setiap pagi. Di kawasan hutan hujan seperti Janda Baik, embun yang muncul setiap pagi memberi suasana sejuk dan segar setiap hari dan saya amat sukakan suasana itu,” katanya. Atas rasa tanggungjawab membangunkan ekonomi masyarakat setempat, Norraesah memutuskan untuk mengambil pekerja-pekerja tempatan dari kampung sekitar Janda Baik sebagai pekerja di vila berkenaan. “Fokus kami adalah pada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Di Embun, semua pengunjung adalah tetamu kenamaan (VIP) dan mendapat layanan istimewa,” katanya. - BERNAMA