BENTONG 23 Mac - Kerajaan akan bertindak tegas menarik balik lesen pengusaha syarikat pelancongan yang membenarkan aktiviti tidak senonoh termasuk berbogel dilakukan di kawasan terbuka di tempat kendalian mereka. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, setiap pusat pelancongan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan termasuk dalam isu berpakaian tidak senonoh dan berbogel di tempat terbuka yang menyalahi undang-undang negara.
Pada 20 Mac lalu, sekumpulan wanita yang menginap di sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi di sini berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan hanya memakai baju dan seluar dalam. Sebelum ini, iaitu pada 22 Januari 2017 seramai 39 peserta satu program motivasi dipercayai melakukan tindakan melampau dengan berbogel dalam satu aktiviti sukan di kawasan padang pusat peranginan berkenaan. - UTUSAN ONLINE