Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, kajian penubuhan perbadanan itu diharapkan dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi untuk dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri.

Kata beliau, jika penubuhan perbadanan itu direalisasikan, ia akan mengambil peranan untuk mengatasi kelemahan pihak berkuasa tempatan di pusat pelancongan tersebut.

“Seperti kita tahu ada dua pihak berkuasa utama di Came­ron Highlands iaitu Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran. Kita dapati ada jurang antara kuasa kedua-duanya.

“Jadi, jurang ini kita akan rapatkan dengan satu autoriti lain,” katanya selepas merasmikan program Tafaqquh Fiddin Eksklusif (Tafaqquh Fiddin X) Negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Mengenai operasi memusnahkan kebun-kebun haram di Cameron Highlands, Sallehuddin berkata, ia tindakan bagi mengembalikan kegemilangan kawasan tanah tinggi itu dan memberi keadilan kepada penduduk di situ bagi mendapatkan bekalan air bersih sepenuhnya.

Beliau berkata, Cameron Highlands diibaratkan kawasan kesayangan rakyat negara ini (darling of Malaysia) yang mana semua perkara berlaku di situ diberi perhatian oleh masyarakat.

Kata beliau, fokus penguatkuasaan kali ini melibatkan kebun-kebun haram yang terletak di muka sauk Empangan Sungai Ichat yang membekalkan 70 pera­tus air bersih di Cameron Highlands agar sumber ber­kenaan tidak terjejas.