Tiada siapa dapat meramalkan apa yang akan berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang di luar dari zon selesanya. Begitu juga bagi bekas wartawan, Lee Meng Fun apabila memutuskan untuk berhenti kerja pada 2016 untuk mencuba sesuatu yang baharu. Pertaruhan 50-50 dengan memanfaatkan gelombang ekonomi perkongsian, Meng Fun, 37, tidak pernah membayangkan bahawa dia akhirnya akan berjaya dalam bidang yang diterokainya iaitu mengusahakan inap desa atau homestay.
Dalam tempoh lebih dua tahun, perniagaan yang diceburinya itu menampakkan peningkatan dan kini dia menguruskan 15 buah inap desa di Cameron Highlands, Pahang. “Hingga ke hari ini saya masih sukar mempercayai perniagaan ini boleh berjaya kerana saya tidak pernah tahu bahawa terdapat permintaan tinggi terhadap inap desa,” kata Meng Fun yang pernah berkhidmat di akhbar harian Cina tempatan selama lebih lima tahun sejak 2005. Mengimbas kembali usaha pertamanya dalam dunia perniagaan katanya, dia tidak mempunyai sebarang asas untuk menceburi bidang perniagaan. Pada mulanya dia hanya mahu menyewakan pangsapuri tiga bilik miliknya di Brinchang melalui Airbnb, perkhidmatan pasaran dalam talian dan perhotelan yang membolehkan pemilik menyewakan hartanah mereka.
Dia membelanjakan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 untuk membuat beberapa pengubahsuaian ringkas dengan tema anime Jepun yang mesra keluarga. Menamakannya Bricks Homestay, dia mendaftar hartanahnya dengan Sistem Cukai Pelancongan Malaysia iaitu sistem penyerahan dan pembayaran dalam talian untuk cukai pelancongan di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Jun 2016. Tidak lama kemudian, dia menyenaraikan Bricks Homestay dalam Airbnb dan Facebook tanpa menyedari bahawa dia sebenarnya sudah memulakan langkah untuk menjadi pengusaha.
PERMINTAAN TINGGI
Permintaan yang diterima sangat memberangsangkan setelah dia meletakkan pangsapuri pertama dalam kedua-dua platform berkenaan. Meng Fun banyak menerima pertanyaan ketika cuti akhir tahun 2016 sehinggakan terpaksa menolak beberapa permintaan kerana ruang pangsapurinya yang terhad. “Permintaan yang tidak putus-putus membuatkan saya berasa tidak selesa kerana tidak dapat memenuhi kesemuanya,” katanya. Situasi itu mendorongnya untuk memikirkan langkah seterusnya iaitu mengembangkan perniagaan tersebut.
“Saya mula bertanyakan jiran-jiran jika mereka mahu menyewakan unit mereka kepada saya,” katanya. Dari situ, perniagaannya berkembang. Dua tahun setengah kemudian, Meng Fun menguruskan 15 unit hartanah yang terdiri daripada tujuh pangsapuri, tujuh penthouse dan sebuah rumah berkembar. Kesemuanya terletak di Cameron Highlands. “Kecuali yang saya miliki, selebihnya semua unit adalah disewa,” katanya.
KERJASAMA STRATEGIK
Menurutnya, maklum balas terhadap inap desanya sangat menggalakkan dengan purata kadar penghunian untuk semua unit adalah 20 hari sebulan. “Percaya atau tidak, saya mula menerima tempahan untuk Tahun Baharu Cina 2019 pada Ogos tahun lalu dan menjelang akhir 2018, semua unit ditempah sepenuhnya sehingga hari keempat dan kelima bulan Lunar pada 8 dan 9 Februari 2019,” katanya. Prestasi yang memberangsangkan menyaksikan catatan jualan setahun penuh sebanyak RM480,000 pada 2018, peningkatan 60 peratus daripada RM300,000 pada 2017. “Ini lonjakan besar daripada RM25,000 yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama selepas memulakan perniagaan iaitu dari bulan Jun hingga Disember 2016,” katanya.
Untuk membantunya menampung pertanyaan yang tidak putus-putus dan menyelesaikan masalah remeh tetapi mendesak di unit inap desa, Meng Fun yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Malaya memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas rakan sekerja dari sebuah syarikat pengurusan acara, Chia Ching Hie pada April 2017. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan pemilik syarikat pembersihan, Kenny Hew untuk menguruskan perkhidmatan pembersihan di rumah inap desa terlibat. “Selain menguruskan pembersihan, Kenny juga melayan aduan tetamu seperti berkaitan peralatan elektrik yang rosak,” katanya. Ini membolehkan Meng Fun menumpukan perhatian kepada pengajiannya di Kuala Lumpur dan hanya perlu `naik’ ke Cameron Highlands dua atau tiga kali sebulan untuk melakukan ‘pemeriksaan’.
MEMPELBAGAIKAN PERNIAGAAN
Mengakui bahawa dia adalah antara kumpulan pertama ‘orang luar’ yang membantu perkhidmatan Airbnb di Cameron Highlands untuk berkembang, dia masih ingat ketika itu terdapat kurang daripada 50 inap desa di Cameron Highlands dan sebahagian besarnya tidak dilengkapi perabot. “Sekarang, anda boleh lihat terdapat lebih 400 buah inap desa yang disenaraikan di laman tempahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, industri inap desa yang berkembang pesat menimbulkan persaingan antara pemilik unit Airbnb, bahkan mencetuskan perang harga yang tidak sepatutnya berlaku. “Ada yang mengurangkan kadar (sewa),” katanya. Untuk menandingi pesaingnya, Meng Fun mempelbagaikan perniagaannya pada Jun 2018 melalui kerjasama dengan pemilik restoran untuk perkhidmatan penghantaran ‘hotpot’. “Sekali lagi, saya terkejut dengan sambutan yang mengagumkan. Sekarang saya bekerjasama dengan dua hingga tiga pemilik restoran, bukan sahaja menghantar hidangan stimbot tetapi juga sarapan menu tempatan seperti nasi lemak dan telur rebus sehingga ke pintu,” katanya.
RANCANGAN MASA DEPAN
Selain pemilik restoran tempatan, dia juga mencari peluang untuk bekerjasama dengan pemandu pelancong dan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) untuk menawarkan pakej penginapan dan pelancongan kepada tetamunya. Meng Fun mendedahkan bahawa pada tahun lalu terdapat beberapa pihak yang ‘merisik’ untuk menjalin perniagaan dengannya. Mereka akan membawa kumpulan pelancong dari China untuk tinggal di inap desanya sebagai sebahagian daripada program lawatan. “Perkongsian seperti ini akan menguntungkan perniagaan, tetapi tentu saja saya masih perlu mengkaji dengan teliti sebelum mempersetujui mana-mana perjanjian,” katanya dengan harapan kerjasama itu dapat ditandatangani pada tahun ini.
Meng Fun yang bercita-cita tinggi juga mendedahkan bahawa dia Ching Hie sedang mengusahakan satu projek lain iaitu mewujudkan tempat untuk majlis perkahwinan, ruang untuk pertemuan berkumpulan, malah kafe tanpa pekerja di tanah seluas 6,758 kaki persegi di Cameron Highlands. “Diharapkan kami dapat memulakan perniagaan ini pada September tahun ini juga,” katanya. – BERNAMA