Serentak dengan itu, baginda kini bergelar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Ia membawa maksud ‘Sultan Abdullah pembela agama yang terpilih oleh Allah’. Baginda yang diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah berangkat ke Balairung Seri itu pada pukul 11 pagi.

Istiadat pemasyhuran diraja bermula dengan Tengku Abdul Rahman diiringi Tengku Arif Temenggong Pahang dan Orang Kaya Indera Pahlawan, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan menyembah mengadap membacakan pengisytiharan pe­lantikan raja. Pengisytiharan itu di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang (Bahagian Pertama). Orang Kaya Indera Pahlawan kemudian mengadap Sultan Abdullah bagi menyembahkan Titah Ikrar sebagai Sultan Pahang Keenam sebelum baginda menyempurnakannya.

Istiadat diikuti laungan takbir “Allahuakbar” dan “Daulat Tuanku” masing-masing seba­nyak tiga kali diikuti hadirin yang hadir. Tengku Abdul Rahman kemudian menyembah mengadap untuk membacakan Perutusan Taat Setia mewakili kerabat-kerabat bergelar, ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, kerabat-kerabat dan Orang-orang Besar negeri. Selepas itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatan­kuasa Pelanco­ngan, A­lam Sekitar dan Perlada­ngan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyembah mengadap untuk membacakan Ucapan Ikrar Taat Setia mewakili ahli-ahli majlis me­syuarat kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun serta rakyat negeri ini.

Al-Sultan Abdullah kemudian menyempurnakan Titah Diraja. Istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam disempurnakan dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman. Pemasyhuran penuh bersejarah itu menyaksikan Al-Sultan Abdullah menaiki takhta selepas 44 tahun diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang. Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkan ba­ginda berada dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sumber : Utusan Malaysia