KUANTAN 3 Dis. - Sebanyak tujuh daripada 40 projek pembangunan penyediaan infra dan fasiliti pelancongan bernilai RM1.1 juta di negeri ini didapati lewat disiapkan dengan tempoh antara satu hingga dua bulan kelulusan Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa Kontrak (EOT).
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 menyebut alasan yang dikemukakan juga kurang wajar seperti masalah cuaca iaitu hujan di tapak binaan, bekalan bahan binaan yang dihadapi oleh kontraktor dan kedudukan tapak semasa pemilihan projek.
"Antaranya projek naik taraf gelanggang BMX di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), projek membina baharu pondok rehat di Pantai Kampung Chendor, kerja-kerja membina dan menyiapkan sebuah tandas dan kerja berkaitan di Mossy Forest Cameron Hihglands, menaiktaraf tandas di Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, di sini dan tiga lagi projek lain," menurut laporan itu.
Laporan itu disediakan oleh Jabatan Audit Negara yang dipetik dari laman web www.audit.gov.myhasil audit yang dilakukan terhadap Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) sebagai agensi pelaksana.
Selain itu, laporan audit juga mendapati terdapat kelemahan dari aspek pengurusan produk pelancongan iaitu sebanyak 95 daripada 125 laporan acara tidak disediakan dan tiada analisis dilakukan bagi mengukur kepuasan pelanggan untuk tujuan penambahbaikan produk pelancongan pada masa hadapan.
"Berdasarkan 20 laporan acara yang disediakan, didapati laporan yang disediakan tidak mengandungi laporan perbelanjaan penganjuran acara secara terperinci dan maklum balas pengunjung menyebabkan pihak PKBF tidak dapat membuat analisis bagi mengukur keberkesanan acara pelancongan yang diadakan," kata laporan itu.
Laporan audit itu juga mendapati berlaku ketidakcekapan dalam pengurusan pentadbiran kontrak kerana bon pelaksanaan berjumlah RM70,013 tidak dikenakan terhadap enam daripada lapan perolehan kerja serta bekalan selain perkhidmatan serta polisi insurans tidak dikemukakan bagi tiga projek pembangunan penyediaan infra dan fasiliti pelancongan bernilai RM0.66 juta.
Selain itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan promosi iaitu 17 daripada 30 pembekal dan kontraktor terlibat tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan membabitkan nilai perolehan berjumlah RM0.71 juta, sementara sebanyak 14 perolehan dan bekalan berjumlah RM1.2 juta lewat dibekalkan.
Bagaimanapun secara keseluruhan, program pembangunan pelancongan yang dilaksanakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, telah dijalankan dengan berkesan dan merekodkan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 38.2 juta orang berbanding 44 juta juta orang yang ditetapkan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan sektor industri pelancongan di negeri ini.
Bagi memastikan kelemahan itu tidak berulang dan Kerajaan Negeri mendapat 'best value for money' atas perbelanjaan dilakukan, laporan itu mengesyorkan agar BPEN, PKBF dan agensi pelaksana lain disaran agar membuat perancangan dan kajian dengan teliti.
Ini bagi memastikan semua aktiviti promosi dan projek pembangunan, penyediaan infra dan fasiliti pelancongan yang dilaksanakan dapat dimanfaat sepenuhnya sekali gus memastikan tiada pembaziran.
Rancangan Strategik Pelancongan juga hendaklah disediakan dengan lebih komprehensif dan mengambil kira perkembangan industri pelancongan semasa serta mempertingkatkan kerjasama antara pemain industri.
"Agensi berkenaan juga perlu meningkatkan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan serta lebih terperinci di dalam pelaksanaan projek dan pengurusan kewangan selaras dengan peraturan yang ditetapkan agar kerja yang dilaksanakan berkualiti sekaligus kepentingan kerajaan terpelihara.
"Latihan yang berterusan dan bersesuaian kepada pegawai yang bertanggungjawab bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kemahiran kerja dalam pengurusan kewangan dan program," menurut laporan itu.- BERNAMA