Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 34

KUANTAN - Kelulusan pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman tertakluk kepada kelulusan kerajaan pusat selain peruntukan mengikut Aktiviti 12(B) Jadual Kedua (Perintah Kualiti Alam Sekeliling dan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan untuk membina lapangan terbang juga perlu mengambil kira Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 2015.

“Ia kerana Pulau Tioman sudah digazetkan sebagai kawasan Taman Laut. Jadi dalam hal ini kerajaan negeri dan Pusat perlu memastikan pelaksanaan projek itu tidak menjejaskan alam sekitar, jika perancangan ini (pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman) dilaksanakan.

“Malah, pemaju juga perlu mematuhi setiap peraturan ditetapkan dan mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Pahang Ke14, di sini, hari ini.

Beliau menjawab kebimbangan disuarakan Young Sefura Othman (DAP-Ketari) sekiranya projek pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman dilaksanakan akan menjejaskan alam sekitar di kawasan tumpuan pelancong itu.

Menurutnya, pembinaan lapangan tersebut juga akan dipantau oleh sekurang-kurangnya tujuh jabatan antaranya JAS, Jabatan Laut melalui Akta Perikanan 1975, pihak berkuasa tempatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim),” katanya

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, taklimat mengenai isu tuntutan bertindih kawasan Simpanan Minyak Petroleum Lembah Bertam antara kerajaan Pahang dan Terengganu sudah dilakukan Petronas.

“Taklimat berhubung isu itu juga sudah dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Buat masa ini, penyelesaian isu tuntutan itu hanya boleh ditentukan selepas sempadan maritim antara negeri Pahang dan Terengganu dimuktamadkan,” katanya menjawab persoalan yang disuarakan Datuk Mustapha Long (BN-Padang Tengku).

Sementara itu, menurutnya, kerajaan negeri memandang serius dan memantau masalah penerokaan haram berlaku di negeri ini sejak pimpinan bekas menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob lagi.

“Kerajaan mengambil berat kebajikan rakyat, kerajaan negeri amat bertolak ansur terhadap pekebun kecil yang sekadar mencari nafkah untuk menanggung keluarga masing-masing,” katanya.