BENTONG - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) menyasarkan untuk menanam 500,000 anak pokok dalam tempoh lima tahun akan datang dalam usaha memelihara dan memulihara alam semula jadi. Pengerusinya Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Muad'zam Shah Sultan Ahmad Shah berkata usaha yang dilakukan ini adalah penting kerana kawasan yang akan terlibat adalah sebahagian dari negeri Pahang yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan ia mampu mencegah berlakunya perubahan iklim.
Turut ditanam pada hari ini ialah anak pokok spesies Keriung dan Nyatoh oleh sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah Maahad Tahfiz dan rumah anak yatim di sekitar Bentong serta orang ramai. Dalam pada itu, Pengurus Program Alam Sekitar SASET Muhammad Firdaus Dave Abdullah berkata kawasan berkenaan yang juga dikenali sebagai Kompartmen 46 dipilih kerana ia perlu dipulihara selepas diterokai secara haram bagi tujuan pembalakan beberapa tahun lalu. Beliau juga berkata sejak 2012, SASET telah menanam semula kira-kira 100,000 anak pokok di seluruh Pahang dan akan meneruskan usaha itu dengan bantuan kerajaan persekutuan dan negeri. "Apa yang berlaku sekarang ialah pihak kerajaan telah melihat bagaimana SASET telah berjaya melaksanakan usaha ini dan kini pihak kerajaan ingin kami menanam lebih banyak anak pokok," katanya. SASET yang dinaungi oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sendiri, mempunyai kira-kira 1,000 sukarelawan di seluruh negeri berkenaan. - Bernama