PEKAN - Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah mahu melihat seni tenun Pahang terus unggul dalam kelas tersendiri dalam industri tekstil negara.Baginda menyifatkan tenun Pahang sebagai satu fabrik eksklusif kerana mempunyai keistimewaan yang tidak mudah diperoleh mahupun ditiru sesiapa.Titah Tunku Azizah, berbeza daripada sesetengah fabrik lain seperti batik yang dapat dihasilkan oleh ramai orang, tenun Pahang memerlukan kemahiran, ketelitian dan minat individu yang melakukannya."Saya mahu tenun Pahang ada kelas tersendiri dan berciri eksklusif setanding jenama luar negara sehingga orang perlu beratur atau menempah khas untuk mendapatkannya.
Titah baginda, seni tenun Pahang perlu 'lahir dari hati' dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk diperkembangkan kerana ia berpotensi menjadi satu cabang pekerjaan."Saya masih ingat pada awalnya, hanya ada 15 penenun di Pekan, namun selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, kita sudah mempunyai lebih 200 penenun di Pahang," titah baginda. Tunku Azizah juga bertitah penghasilan tenun Pahang juga dilakukan oleh banduan lelaki di Penjara Penor dan Bentong, yang mana selepas dilatih, mereka berkebolehan menghasilkan kain tenun berkualiti tinggi dengan rekaan corak eksklusif. - Bernama