PEKAN - Program Moh Mengemping yang turut mendapat penglibatan jabatan dan agensi dari Sabah dan Sarawak berjaya mengetengahkan pembuatan emping padi secara tradisional di peringkat kebangsaan. Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penggunaan elemen tradisi dan kaedah lesung kayu dalam proses pembuatan emping, menjadikan keunikan itu satu nilai tambah untuk terus dikekalkan dalam Kalendar Tahun Melawat Pahang sejak 2016. Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 22 penyertaan kalangan penduduk kampung, agensi dan jabatan kerajaan dalam aktiviti pertandingan mengemping.
"Pesta mengemping merupakan aktiviti popular zaman dahulu. Ia sangat dinantikan terutama kalangan pemuda kerana pada masa itu mereka dapat mencari pasangan hidup. "Mengemping nampak mudah tapi memerlukan kemahiran yang baik untuk menghasilkan emping yang rangup dan sedap. Terlebih sangai, rasa akan pahit. Terkurang sangai, mentah pula. Begitu juga dengan menumbuk emping, tak kena cara akan hancur jadinya.
"Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha merapatkan ukhuwah sesama peserta. Dan semoga para peserta beroleh pengalaman indah dan berharga," katanya pada sidang media Moh Mengemping 2018 di Padang Awam Kampung Pahang Tua, di sini, semalam. Hadir sama, Adun Peramu Jaya, Datuk Sri SH Mohmed Puzi SH Ali, wakil Ahli Parlimen Pekan, Datuk Indera Zainal Abidin Pa'wan, Pegawai Daerah Pekan, Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.
Dalam pada itu beliau berharap aktiviti mengemping diperbanyakkan dalam tawaran bisnes homestay di daerah tersebut untuk menarik pelancong asing. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2018, seramai 21,864 pelancong datang ke bandar Pekan iaitu peningkatan sebanyak 7.13 peratus berbanding 2017.