RAUB - Kampung Peruas terkenal dengan keindahan Pusat Rekreasi Hutan Simpan Pulau Chekas dan Air Terjun Lata Jarum, di samping pelancongan inap desa. Flora dan fauna memukau, menjadikan kampung itu tumpuan pelancong. Istimewanya Kampung Peruas bukan hanya kerana khazanah alam, tetapi pada namanya juga unik. Bagaimanapun, tidak ramai tahu asal usul namanya dikaitkan dengan bunian.
Terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari Bandar Raub, Kampung Peruas berkembang pesat sebagai lokasi tarikan pelancong. Pekan kecil paling hampir ialah Pekan Dong dengan jarak kira-kira 18km dan kampung tradisional itu terletak dalam Mukim Ulu Dong. Diteroka dan diduduki sejak 1890-an dalam kawasan seluas kira-kira 478 hektar, Kampung Peruas kini dihuni 508 penduduk membabitkan 108 keluarga.
Perbuatan orang bunian
Berdasarkan cerita mulut ke mulut sejak sekian lama, Kampung Peruas dikatakan ada kaitan dengan orang bunian.Pada masa dahulu, dikatakan kebanyakan orang ada hubungan akrab dengan orang bunian, malah mitos bunian sangat popular di sekitar Ulu Dong khsususnya di Pulau Chekas dan Kampung Peruas.Penduduk, Abdul Khalid Abdul Majid, 68, berkata, Kampung Peruas dikatakan mendapat nama disebabkan perbuatan orang bunian bernama Menteri Jerung yang enggan berkahwin dengan Menteri Tanak.Menurutnya, Menteri Jerung kecewa dan membawa diri dengan menaiki perahu."Dia juga campak batu besar agar jadi jeram supaya perahu yang digunakan boleh melalui sungai tersebut.
"Kalau dilihat jeram-jeram yang ada di sungai di Pulau Chekas dan Peruas, dipercayai akibat daripada perbuatannya," katanya.Abdul Khalid berkata, Menteri Jerung menyusuri laluan sungai tersebut sehingga tiba di sungai buta yang tidak boleh dilalui perahu.Ceritanya lagi, Menteri Jerung kemudiannya berjalan kaki hingga keletihan dan berehat serta tidur di ruas buluh."Sebab itu kalau kita lihat banyak pokok buluh ada di sekitar Sungai Ulu Dong."Setelah Menteri Jerung tersedar, dia bingkas bangun dan minum air sungai sebelum kembali berjalan kaki untuk berkelana," katanya.Justeru katanya, nama Kampung Peruas diambil kerana Menteri Jerung puas dapat berehat di ruas buluh sambil menikmati air sungai yang menyegarkannya.Menurutnya, walaupun cerita itu hanya mitos, dia tetap percaya kewujudan orang bunian di kampung tersebut.
Penduduk majukan sektor pelancongan
Penghulu Mukim Ulu Dong, Umor Mat, 60, berkata, kejayaan hasil transformasi pembangunan ekonomi, sosial dan modal insan serta diperakui panel penilai, membolehkan Kampung Peruas menggondol beberapa anugerah peringkat kebangsaan.Katanya, antara anugerah diterima ialah Johan Pertandingan Sungai Angkat, Sungai Dong Pulau Chekas (2003), Johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Chekas (2011), Johan Anugerah Ilham Desa (2013), Johan Anugerah Kampung Desa Lestari (2014) dan Johan Pertandingan Inap Desa Terbaik (MITI) (2016).Umor yang juga antara tulang belakang kejayaan kampung itu hingga dikenali di peringkat tertinggi berkata, penilaian dibuat berasaskan beberapa kriteria.Katanya, kepimpinan, pendidikan, kerohanian, ekonomi, kesihatan, teknologi dan keceriaan antara aspek penting dinilai.Menurutnya, berkat kerjasama antara pemimpin, belia serta penduduk, kini Kampung Peruas sangat popular dalam sektor pelancongan.Beliau berkata, menerusi Program Pelan Tindakan Desa, Kampung Peruas fokus dalam aspek pelancongan.
"Ini dibuktikan dengan pembinaan Kompleks Pelancongan Homestay Pulau Chekas (Kompac) yang menyediakan pusat penginapan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti chalet, bilik mesyuarat, surau, dewan terbuka, astaka, pondok kawalan serta kemudahan memasak," katanya.Umor berkata, selain Kompac, terdapat lima chalet lain yang merancakkan ekonomi penduduk setempat. "Banyak aktiviti boleh dilakukan di Kampung Peruas. Uniknya kita ada aktiviti ‘Rafflesia Walk View’ kerana terdapat Bunga Rafflesia yang jadi satu tarikan pelancongan," katanya.