KUANTAN - Seramai kira-kira 100 pelajar sekolah menengah dari dari seluruh negara menyertai program lawatan Jejak Warisan Merdeka di sini , semalam.
Program yang dilaksanakan Kuantan anjuran Jabatan Warisan Negara (JWN) itu bertujuan mendidik generasi muda tentang kepentingan memelihara, menghargai dan mendekati pelbagai warisan negara.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Saraya Arbi berkata Sungai Lembing, Kuantan dipilih sebagai lokasi program tersebut buat kali ke-12 kerana merupakan sebuah pekan lama yang unik serta kaya dengan nilai sejarahnya sendiri.
Menurutnya, pada lawatan itu, para pelajar dibawa melihat dan mengalami sendiri ke beberapa lokasi yang mempunyai kaitan sejarah.
“Program kali ini berkonsepkan menjejaki terowong bijih timah, rumah Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), bengkel sampul surat dan muzium sungai lembing yang memberi mereka pengalaman berharga.
“Di samping itu, kita turut mewujudkan platform berbentuk akademik di mana bukan sahaja para pelajar sekolah, malah institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dapat berinteraksi secara dekat dengan tokoh sejarah di sini menerusi pengkisahan sejarah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr Zainah Ibrahim.
Dalam pada itu, Saraya turut berharap agar program dilaksanakan mampu menjadi pendorong untuk masyarakat terus mencintai warisan budaya di samping dapat memberi manfaat dan impak positif kepada komuniti Sungai Lembing.
“Pekan Sungai Lembing bukan sahaja bekas tinggalan tapak bersejarah semata-mata malah ia merupakan komponen warisan budaya yang disisipkan mengenai siapa diri kita, asal-usul kita dan corak kehidupan pada hari ini.
“Diharapkan aktiviti seumpama ini mampu memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman berharga mengenali, menghayati dan mencintai sejarah dan warisan negara,” katanya.