Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 44

KUANTAN - Buat julung kalinya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM selama 10 hari bermula 21 September ini, yang akan disertai oleh lebih 176 pasukan termasuk pasukan jemputan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, dan Perladangan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kejohanan yang akan mempertandingkan empat kategori terjunan itu, akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Kemunting di sini.

“Acara anjuran ATM ini juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan ekstrem seperti payung terjun kepada orang ramai selain mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan di sekitar Kuantan.

“Kalau boleh kita mahukan acara ini menjadi acara yang dikenali ramai dan sinonim dengan negeri ini khususnya Kuantan seperti International Bird Race di Bukit Fraser yang telah menjejaki 31 tahun penganjurannya,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media bagi Penganjuran Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM 2018, ‘Pahang Parachute Challenge 2018’, di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Menurutnya, Pahang juga dipilih sebagai lokasi penganjuran berikutan negeri ini mempunyai banyak kem tentera selain mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri.

Sukan lasak ini diadakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Tourism Pahang, Tourism Malaysia Wilayah Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Menurut Mohd Sharkar, antara empat kategori terjunan yang dipertandingkan ialah Accuracy Sport, Accuracy Military, Formation Skydiving, dan Canopy Formation Skydiving yang menawarkan hadiah bernilai RM1,500 sehingga RM3,000 bagi setiap kategori.

Pengunjung turut berpeluang untuk melihat pameran ketenteraan, kawad senyap, demonstrasi ketenteraan, dan meninjau peluang kerjaya di dalam ATM,” katanya. - Bernama.