JERANTUT - Pengusaha sektor pelancongan perlu melaksanakan konsep 'Wawasan Sifar' bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan pekerja dan juga pelancong.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Wawasan Sifar atau 'Vision Zero' merupakan pendekatan bagi mencari penyelesaian yang mampu mencegah kemalangan dan kematian di tempat kerja.
Menurutnya, selain mencapai sasaran sifar kemalangan, wawasan ini juga lebih tertumpu kepada usaha mencegah kemalangan daripada berlaku.
“Niosh kini giat mempromosikan konsep Wawasan Sifar untuk semua sektor termasuk pelancongan sejajar dengan inisiatif global yang diketuai Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
"Jika mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan sedia untuk berubah ke arah kebaikan, saya percaya sektor terbabit boleh menjadi antara yang terawal melaksanakan konsep Wawasan Sifar tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Dialog Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam Sektor Pelancongan di Mutiara Taman Negara Eco Park Resort di sini.
Program sehari anjuran bersama Niosh dan Tourism Pahang itu melibatkan lebih 60 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan pengusaha produk pelancongan di Kuala Tahan dan Taman Negara.
Turut hadir Pengurus Kanan Penggalakan dan Promosi Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim, Setiausaha Eksekutif Niosh Mejar (B) Hanif Maidin dan Pengurus Jabatan Perniagaan dan Pemasaran Niosh, Mohd Husin Abd Salam.
Lee berkata, insiden yang menyebabkan kecederaan atau kematian dalam sektor pelancongan sudah tentu akan menjejaskan nama baik negara dan pengusaha yang terlibat dalam sektor pelancongan.
"Kejadian seperti lemas di kawasan rekreasi , bot karam dan bas jatuh ke dalam gaung sebagai contoh sudah pasti akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelancong.
"Apatah lagi jika ia melibatkan pelancong asing kerana berita mengenai tragedi tersebut akan tersebar luas dan berpotensi menjejaskan kedatangan pelancong asing ke negara ini," katanya.